SHAH ALAM: Peluang pekerjaan lebih relevan dan menjadi rebutan industri antara faktor utama bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kekal menjadi pilihan belia di negara ini.
Aspek kepelbagaian dalam bidang kemahiran itu turut dilihat menjanjikan masa depan lebih cerah bagi graduan institusi pengajian tinggi (IPT) berbanding akademik sedia ada.
Pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Perak, Muhammad Asrie Ismail Nasaruddin, 19, berkata ilmu kemahiran dianggap faktor penting dalam memenuhi kehendak industri masa kini.
“Menerusi TVET, sesi pembelajaran itu meliputi aspek menyeluruh sama ada dari segi asas dan pratikal.
“Jika menempuh alam pekerjaan kelak, saya tidak lagi perlu bermula dari bawah kerana sudah memiliki kemahiran yang diperlukan majikan,” kata pelajar semester ketiga jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer itu.
Berdasarkan statistik terkini Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), seramai 118,000 pelajar baharu mendaftar masuk ke politeknik dan kolej komuniti seluruh negara sekali gus meningkat 20 peratus tahun ini.
Jumlah pelajar di 36 politeknik dan 104 kolej komuniti itu merekodkan pertambahan berbanding sekitar 90,000 orang tahun lalu.
Bagi pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAS) Shah Alam, Ayuni Aishah Badrul Hisam, 20, tawaran peluang pekerjaan yang lebih banyak menjadi faktor dirinya memilih TVET.
“Sebagai contoh, saya memilih jurusan Kejuruteraan Elektronik Perubatan bukan hanya kerana minat malah mencorakkan masa depan yang lebih terjamin. Ini kerana negara ini pelbagai hospital sama ada kerajaan ataupun swasta yang sekaligus menawarkan pelbagai peluang pekerjaan,” ujar anak kelahiran Kajang itu.
Pelajar Kolej Komuniti Pasir Gudang, Johor, Stephaniey Sim, 19, pula berkata golongan belia perlu mengikuti arus dan peredaran teknologi yang sentiasa berubah saban hari.
“Keadaan itu menyebabkan kehendak dan keperluan pihak industri akan semakin tinggi dalam bidang kemahiran.
“Justeru, TVET menjadi nadi dan pilihan terbaik majikan untuk menggaji pekerja berkemahiran tinggi terutama dalam bidang teknologi,” kata pelajar jurusan Sijil Teknologi Maklumat (STM) kelahiran Sarawak.
Bagi pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sabak Bernam, Akmal Rizal Selamat, 19, bidang akademik bukan menjadi pilihan majikan semata-mata ketika ini.
“Bagi saya, perkara penting adalah kemampuan dan kecekapan pekerja memenuhi skop kerja masing-masing terutama bidang kemahiran.
“Oleh itu, kerajaan diharap terus menawarkan peluang lebih dinamik kepada graduan TVET bagi mengelak kadar pengangguran tinggi dalam kalangan graduan selepas menamatkan pengajian kelak,” ujar pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer itu. – UTUSAN