TVET mampu wujudkan lebih ramai usahawan

TVET mampu wujudkan lebih ramai usahawan

Mustapha Sakmud bersama sebahagian daripada 2,000 pengunjung Karnival TVET Madani Jom Pilih Kemahiran di Pusat Latihan Pengajar Dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Shah Alam, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bidang Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) bukan sahaja mampu mewujudkan ramai pekerja mahir dalam sektor industri, malahan menggalakkan mereka menjadi usahawan.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), strategi serampang dua mata telah lama dilaksanakan bagi memastikan peserta kursus turut dilatih ilmu berniaga selain teknikal.

“Selain diajar kemahiran bidang TVET, kita turut mengajar ilmu keusahawanan berdasarkan sukatan pelajaran yang ada.

“Kita mahu lepasan TVET mampu menjana pendapatan sebagai majikan dengan kemahiran yang dikuasai,” katanya selepas merasmikan Karnival TVET Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Tengah 2023.

Menurutnya, bidang TVET sewajarnya menjadi pilihan generasi muda pada masa kini kerana ia mampu menjana ekonomi sebagaimana kerjaya dalam bidang profesional.

“Dalam karnival ini kita kumpulkan pemain industri, institut latihan kemahiran awam dan swasta bagi mendedahkan kepada guru dan pelajar sekolah peluang kerjaya TVET dengan lebih dekat lagi.

“Karnival TVET Madani adalah solusi untuk membasmi kemiskinan dan kita ingin mewujudkan pekerja dan teknokrat mahir yang hebat seimbang ilmu kemahiran dan baik akal budinya,” katanya.

Sebahagian daripada aktiviti yang diadakan sempena Karvinal TVET Madani Jom Pilih Kemahiran di Shah Alam, baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu Mustapha berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mencari kaedah terbaik untuk menarik orang muda bukan sekadar melawat pameran kerjaya, tetapi menjadi peserta kursus kemahiran di CIAST dan lain-lain pusat kemahiran.

Katanya lagi, bagi menarik generasi muda berminat dengan kursus kemahiran langkah menjenamakan semula kursus yang ditawarkan wajar dilaksana.

Beliau berkata, generasi muda hari ini sentiasa memberi perhatian kepada perkara yang luar daripada kebiasaan maka sewajarnya nama kursus turut mempunyai elemen sedemikian.

“Kita akur dengan perkembangan hari ini yang mana orang muda seakan kurang berminat mengikuti bidang kemahiran yang kita tawarkan maka sesuatu harus dilakukan untuk perubahan.

“Mungkin kita akan menambah baik nama kursus agar ia kedengaran menarik minat generasi muda. Misalnya Kursus Pengawal Keselamatan kita tukar kepada Kursus Polis Bantuan,” katanya.

Katanya lagi, antara kursus kemahiran yang mungkin dijenama semula adalah Kursus Dandanan Rambut ditukar kepada Penggubah Rambut atau ‘Hairstylist’.

Mengulas mengenai karnival tersebut Mustapha berkata, ia bukan sekadar pameran untuk mendedahkan maklumat kursus kemahiran tetapi turut melibatkan pertandingan kemahiran.

“Pada karnival ini kita turut menganjurkan Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP), JuniorSkills Malaysia (JSM) 2023 Peringkat Akhir.

“Kesemua pertandingan ini adalah usaha kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk mengarus perdana bidang TVET di negara ini,” katanya.

Tambahnya, ia selaras dengan inisiatif yang telah digariskan dalam Kerangka Blueprint Pembangunan Modal Insan Berkemahiran, ‘Memperkasakan Modal Insan Melalui TVET Dipacu Industri 2021-2025.

MUSTAPHA Sakmud mencuba alat kawalan jauh bagi sukan dron ketika melawat gerai pameransempena Karnival TVET Madani Jom Pilih Kemahiran di Shah Alam, baru-baru ini.

Karnival TVET Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Tengah 2023 yang telah dirancang sepanjang tahun 2023.

Siri jelajah pertama diadakan di ILP Kota Kinabalu, Sabah pada 19 Mac lalu dengan kehadiran sejumlah 5,284 pengunjung manakala karnival siri kedua diadakan di ILP Pedas, Negeri Sembilan pada 16 Jun lalu dengan kehadiran pengunjung seramai 6,719 pengunjung.

Siri ketiga pula diadakan di ILP Kangar, Perlis pada 26 Julai dengan kehadiran pengunjung seramai 2,918 pengunjung dan siri jelajah keempat diadakan di Dewan Suarah, Bau, Sarawak pada 5 Ogos dengan sejumlah 619 pengunjung dan terkini siri jelajah kelima di ADTEC Kulim, Kedah dengan kehadiran seramai 2,617 pengunjung.

Program siri jelajah keenam itu merupakan platform dalam memberikan pendedahan awal berkenaan program pendidikan TVET yang ditawarkan oleh Penyedia Latihan Awam dan Swasta Khususnya di Negeri-Negeri Zon Tengah iaitu Negeri Selangor, Wilayah Perseketuan dan Perak.

Ia telah menghimpunkan 5,920 pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, guru, ibu bapa, belia, komuniti dan pihak industri dengan kerjasama oleh Penyedia Latihan Awam dan Penyedia Latihan Swasta yang merentasi pelbagai kementerian dan agensi.

Program siri jelajah keenam itu kali ini membawa konsep aktiviti yang melibatkan lima hab iaitu Skills Exhibition Hub, Skills Seminar Hub, Skills Challenge Hub, Skills Competition Hub dan Skills Entrepreneur Hub. Skills Competition Hub yang ini memberi penekanan terhadap Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP), JuniorSkills Malaysia (JSM) 2023 Peringkat Akhir.

Penutup siri jelajah Karnival TVET Madani Jom Pilih Kemahiran 2023 Zon Timur yang dijangkakan pada awal Oktober 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya