KUALA LUMPUR: Pertikaian berhubung harta sepencarian melebihi RM2.1 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya berlarutan selepas pihak-pihak gagal mencapai kata persetujuan.
Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdul Shukor Abd. Hamid mengarahkan agar tuntutan tersebut diputuskan melalui perbicaraan.
“Hakim putuskan (tuntutan) perlu dibicarakan memandangkan tiada persetujuan di kalangan pihak-pihak terlibat,” ujar peguam syarie, Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah.
Nur Hidayah turut memaklumkan mahkamah menetapkan 9 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Dr. Kalsom bersama-sama anak-anaknya yang turut dinamakan dalam tuntutannya.
Mereka diwakili peguam syarie, Datuk Sulaiman Abdullah.
Pada Oktober 2018, Dr. Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Mekah serta beberapa buah syarikat dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya sebagai defendan.
Pada 28 Ogos 2022, Mahkamah Syariah di sini membenarkan permohonan Dr. Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.
Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.
Pada 4 April 2015, Allahyarham Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naik dari Pekan, Pahang ke ibu negara terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. -UTUSAN