Tunggakan gaji pemain Perlis United: Kerajaan negeri bantu cari jalan penyelesaian - Utusan Malaysia

Tunggakan gaji pemain Perlis United: Kerajaan negeri bantu cari jalan penyelesaian

MUHAMMAD AZMIR AZIZAN.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan membantu mencari jalan penyelesaian membantu menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain Perlis United FC (PUFC) untuk bulan Ogos dalam menghabiskan baki empat perlawanan saingan Liga M3 musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, selain itu, kerajaan negeri juga akan berusaha membantu mencari jalan bagi melunaskan bayaran gaji pemain pasukan itu bagi bulan September dan Oktober sebelum musim ini berakhir.

Katanya, penglibatan pihak swasta amat penting dalam membantu mengatasi permasalahan itu namun PUFC juga perlu membina keyakinan dengan menampilkan potensi pasukan berkenaan.

“PUFC kena bina kepercayaan dengan menampilkan potensi pasukan itu seperti berada pada kedudukan lima teratas dalam saingan liga.

“Jadi apabila mereka dapat membina keyakinan itu maka ia akan menarik penajaan khususnya dari pihak swasta,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai isu tunggakan gaji selama sebulan dihadapi PUFC yang merencatkan laluan mereka bagi menghadapi baki empat perlawanan dalam saingan Liga M3 musim ini.

Penolong Pengurus Perlis United, Muhamad Khairulnizam Haris dilaporkan berkata, masalah tunggakan gaji bagi bulan Ogos itu sedikit sebanyak telah menganggu momentum dan prestasi pemain pasukan berkenaan yang kini berada pada kedudukan ketujuh dari 13 pasukan yang bertanding.

Selain tunggakan gaji, PUFC turut berdepan masalah venue perlawanan yang sering kali berdepan dengan isu birokrasi pihak tertentu.

Dalam pada itu, Muhammad Azmir berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung isu venue yang dibangkitkan PUFC.

“Kita akan cuba mengadakan perbincangan bersama dua pihak ini dalam mencari penyelesaian terbaik bagi menghabiskan baki perlawanan musim ini memandangkan Stadium Tuanku Syed Putra dijangka selesai baik pulih pada April tahun hadapan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan sentiasa mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Perlis untuk mengenal pasti sebarang permasalahan dan mencari penyelesaian berhubung isu-isu dihadapi,” katanya.

Mengulas mengenai pembangunan pemain, Muhammad Azmir berkata, Perlis tidak mempunyai kesukaran bagi melahirkan bakat di peringkat akar umbi susulan beberapa pencapaian memberangsangkan sebelum ini.

Namun begitu, beliau berkata, bagi pembangunan untuk Piala Belia dan Piala Presiden, Perlis mempunyai kekurangan pemain pelapis untuk diketengahkan.

“Pemain-pemain dari Perlis yang berusia atas 17 tahun ini kebanyakan akan berhijrah ke kelab atau akademi yang memberi tawaran lumayan memandangkan bola sepak ini adalah merupakan karier profesional,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya