KLANG: Polis mengesahkan potongan rakaman tular yang memaparkan insiden rusuhan dalam kalangan pekerja tapak pembinaan sebuah pangsapuri di sini, sebagai video lama.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, insiden tersebut dikesan berlaku pada Julai lalu sementara individu menularkannya sudah pun dikenal pasti dan menyesali perbuatannya yang menimbulkan keresahan awam.
Menurutnya, semalam pengurus tapak pembinaan tersebut tampil di Balai Polis Klang untuk membuat aduan berhubung insiden tersebut dan mengesahkan ia berlaku melibatkan pekerja warga asing yang bekerja di sana.
“Semalam, kira-kira pukul 9.30 pagi, polis mengesan satu video berdurasi 37 saat yang tular dalam media sosial memaparkan kejadian rusuhan di tapak pembinaan di kawasan Bukit Tinggi, di sini.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 8 pagi Julai lalu sewaktu pekerja kontraktor binaan sedang beratur untuk masuk kerja, namun tiga pekerja warga asing didapati memotong barisan menyebabkan berlakunya pertengkaran dan tolak menolak di antara mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru beliau menyeru orang ramai supaya jangan menularkan lagi video terbabit bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.
“Polis juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian tersebut hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376222 bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN