ALOR SETAR: Seni sulaman tudung saji menggunakan reben sebagai hobi mengisi masa lapang kini menjadi sumber menambah pendapatan keluarga seorang suri rumah, Naslinda Abdullah, 59.
Menurut Naslinda yang berasal dari Alor Mengkudu di sini, dia berjinak-jinak dengan sulaman tudung saji itu sejak beberapa tahun lepas namun mula menjualnya baru-baru ini setelah mendapat permintaan rakan dan kenalan.
“Dulu sebagai hobi buat untuk kegunaan sendiri kemudian ada kawan hendak beli dan saya mula buat jualan. Saya cuma menjual di rumah dan kalau ada masa saya akan menjual di tepi jalan sekitar bandar ini.
“Alhamdulillah ada juga yang beli dan dapatlah saya tambah pendapatan keluarga serta tidak bergantung kepada pencen suami. Saya duduk di rumah banyak masa lapang sebab anak-anak semua sudah besar dan berkahwin, daripada tidak buat apa-apa, baik saya berniaga,” katanya ketika ditemui dekat Jalan Stadium, di sini semalam.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, dia menjual tudung saji tersebut dari harga RM35 hingga RM100 mengikut saiz.
“Ada dua saiz iaitu 32 inci saya jual RM80 dan 12 inci saya jual RM35. Saya juga jual set kembar iaitu RM100. Seni sulaman reben ini saya belajar guna YouTube sahaja. Orang Thailand memang mahir dalam seni ini dan saya belajar daripada mereka juga.
“Permintaan pelanggan ikut tema sendiri, selalunya mereka pilih untuk disesuaikan dengan tema rumah atau cat rumah mereka. Ada pelanggan yang beli untuk tutup makanan dan ada juga untuk hiasan rumah,” katanya. – UTUSAN