TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Rangkap itu sesuai menerangkan nasib penyanyi, Dr. Sam Rasputin atau nama sebenarnya, Salim Ibrahim, 70, yang popular dengan lagu Saya Anak Malaysia.
Setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, lagu tersebut turut berkumandang selepas 37 tahun ia dihasilkan.
Dr. Sam baru-baru ini berkongsi rasa bangga dan gembira dengan sambutan masyarakat terhadap lagu tersebut. Padanya, Saya Anak Malaysia membawa makna yang cukup besar sepanjang perjalanannya sebagai seniman.
“Besar ertinya lagu ini. Ia dicipta hujung 80-an, ketika ekonomi negara berdepan kemelesetan. Masa itu, ramai orang terkesan, termasuk golongan artis.
“Alhamdulillah, selepas lebih tiga dekad, lagu tersebut tetap diterima baik dan masih dimainkan di corong radio.
“Malah, menjadi punca rezeki untuk saya yang menerima bayaran royalti setiap kali ia dimainkan sempena Hari Kebangsaan. Tidaklah banyak, tapi memadai. Alhamdulillah,” katanya.
Berkongsi cerita, Dr. Sam memaklumkan sejarah lagu itu diilhamkan sewaktu penggambaran filem Kembara Seniman Jalanan dilakukan.
“Datuk M. Nasir yang nyanyikan rangkap Saya Anak Malaysia, kemudian meminta saya sambung melodinya.
“Selepas lama menunggu tanpa jawapan, saya berjumpa terus dengan penulis, S.Amin Shahab untuk minta dia tulis liriknya.
“Dia serahkan kertas dan pen, minta saya tulis tentang diri saya dan jadikan sebagai lirik lagu tersebut. Memang tak sangka, lagu itu kekal sampai hari ini,” ceritanya.
Dr. Sam dibesarkan dalam keluarga sederhana. Bapanya seorang anggota polis manakala ibunya suri rumah tangga.
Penyanyi bertaraf legenda ini dihantar ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan pada 1973. Beliau bagaimanapun pulang tanpa menamatkan pengajiannya.
“Lima tahun di London, saya pulang bukan membawa sijil, tetapi gitar.
“Saya faham kekecewaan mak ayah pada ketika itu. Tapi Allah senangkan hati mereka dengan kejayaan lagu Saya Anak Malaysia.
“Disebabkan lagu itu saya popular. Menjadi kebanggaan keluarga termasuk saudara mara saya,” jelasnya.
Itu antara pengalaman paling menarik yang berlaku sepanjang penglibatan Dr. Sam dalam dunia seni tanah air.
Katanya, gimik tersebutlah yang mempopularkan namanya seluruh negara.
“Ia berlaku sewaktu konsert di Panggung Anniversary sekitar tahun 1981. Antara artis terlibat adalah Allahyarham Tan Sri SM. Salim, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khatijah Ibrahim, Allahyarham Datuk Sharifah Aini kumpulan Carefree dan ramai lagi.
“Saya rasa amat kerdil hanya bergelar penyanyi jalanan ketika itu. Puas saya dan pengurus, Ali Bakar memikirkan cara agar tidak tenggelam dengan kemunculan artis-artis hebat pada konsert berkenaan.
“Dan ketika itu jugalah muncul idea untuk bawa ayam ke atas pentas. Gimik itu saya buat, bawa dua ekor ayam, baling kanan dan kiri pentas sebaik nama saya diumumkan SM. Salim.
“Esoknya cerita itu menjadi sohor dan ditulis pada semua akhbar tempatan,” ujarnya yang turut mengenang wartawan tersohor, Allahyarham Abdul Jalil Salleh atau Mama Juwie yang banyak menaikkan namanya ketika itu.
BUAT PERTANDINGAN LAGU PATRIOTIK
Dalam perkongsiannya, Dr. Sam turut menyuarakan harapan kepada seniman generasi baharu agar sama-sama meraikan lagu patriotik dengan menghasilkan lebih banyak lagu jenis itu pada masa akan datang.
“Patut kita buat pertandingan lagu patriotik. Ini akan menggalakkan lagi komposer dan penulis lirik generasi baharu untuk menghasilkan lagu-lagu patriotik.
“Buat satu atau dua tahun sekali. Cara ini dapat menyuntik semangat patriotik bukan sahaja dalam kalangan pencipta lagu malah generasi baru,” katanya.