Tren khas ‘Cerita Malaysiaku’ sempena Hari Malaysia

Tren khas ‘Cerita Malaysiaku’ sempena Hari Malaysia

FAHMI Fadzil melihat hiasan dan visual bertemakan ‘Cerita Malaysiaku’ di tren LRT pada majlis pelancaran tren ‘Cerita Malaysiaku’ di Stesen Universiti, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan kerjasama Rapid Rail memperkenalkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) khas bagi laluan Kelana Jaya bertemakan ‘Cerita Malaysiaku’.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif  itu selari dengan seruan kerajaan dalam menyemarak dan mempromosikan sambutan Hari Malaysia, Sabtu ini.

“Koc ini khusus diperagakan dengan pelbagai fakta  maklumat dan hiasan yang bukan sahaja menarik malah banyak pengisiannya dari segi simbol-simbol yang penting bagi negara seperti bunga kebangsaan, Harimau Malaya dan tempat-tempat menarik.

“Saya mengalu-alukan dan berterima kasih kepada Prasarana atas usaha yang selari dan selaras dengan inisiatif kita dalam menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran tren ‘Cerita Malaysiaku’ selepas menaiki koc khas tersebut bersama media dari Stesen Universiti ke KLCC, hari ini.

Fahmi berharap  lebih banyak koc LRT dan MRT bersama-sama menyertai usaha berkenaan untuk menyemarakkan lagi rasa kasih kita kepada negara.

Sementara itu,  Prasarana dalam kenyataan memaklumkan, pemilihan tren laluan Kelana Jaya dibuat setelah mengambil kira jumlah penumpang yang tertinggi selain jajaran yang melalui kawasan-kawasan berkepadatan tinggi termasuk segitiga emas Kuala Lumpur.

Katanya, tren laluan Kelana Jaya tersebut dihiasi dengan visual yang memaparkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan inisiatif ini tercetus bagi menghargai negara Malaysia serta berkongsi fakta dan maklumat agar ia sentiasa diperingati.

“Pengguna yang menaiki tren tersebut  disajikan dengan pelbagai maklumat yang menarik di sepanjang perjalanan untuk ke destinasi yang dituju selain mereka berpeluang melihat keunikan tema tren yang berbeza bagi setiap koc,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya