Trauma leher diacu pisau, diheret penyamun - Utusan Malaysia

Trauma leher diacu pisau, diheret penyamun

Disamun
LIZA menunjukkan laporan polis mengenai kejadian itu di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang wanita menempuh detik menakutkan apabila lehernya diacukan pisau oleh penjenayah yang menyamun dan memecah masuk rumahnya di sekitar Taman Sri Andalas di sini, kelmarin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Liza, 49, berkata ketika kejadian dia bersama kakak, ibu saudara dan seorang rakan sedang menyiapkan sarapan kira-kira pukul 8.45 pagi.

Dia yang masih bujang itu kemudian mahu mandi dekat biliknya di tingkat atas rumah pusaka tersebut.

“Namun, saya terkejut melihat seorang lelaki menutup mukanya dengan baju di depan sebuah bilik tetamu.

“Lelaki itu kemudian meletakkan pisau di leher saya dan mengheret turun sambil meminta wang kerana mendakwa mahu membantu ibunya sakit di hospital,” katanya, ketika ditemui pemberita hari ini.

Jelas Liza, ketika itu dia hanya mampu menangis ketakutan dan meminta supaya dilepaskan.

“Menyedari keadaan itu, ibu saudara saya segera keluar rumah dan menjerit meminta bantuan jiran berdekatan. Suspek yang panik kemudian melarikan diri dan sempat melarikan dua telefon bimbit yang berada atas meja ruang tamu,” ujarnya.

Dakwa beliau yang berhenti kerja selepas mengalami masalah penglihatan, suspek dipercayai memecah masuk menerusi tingkap sebuah bilik di tingkat atas.

“Saya bagaimanapun bersyukur kerana tidam mengalami kecederaan biarpun masih trauma dengan kejadian itu. Selain telefon bimbit, dua cincin emas dan lima jam tangan, lelaki itu melarikan dua tabung duit syiling dan nilai kerugian dianggarkan RM8,000,” katanya.

Tambah Liza, laporan polis dibuat ibu saudaranya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi tindakan lanjut.

“Saya ketika ini menumpang sementara di rumah keluarga kerana terlalu trauma dan mahu menenangkan jiwa. Ini kali kedua kediaman didiami lebih 30 tahun itu dipecah masuk namun kejadian pada 2016 berlaku ketika kami tiada di rumah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya