IPOH: Melihat seorang ahli keluarga yang menunggu masa untuk melahirkan anak terkorban dengan separuh badan bayinya terkeluar dari rahim menjadi antara peristiwa paling menyedihkan bagi Alang Bah Ayunyang.
Detik hitam itu antara yang diceritakan kembali oleh Alang, Orang Asli di Pos Dipang dalam daerah Kampar, Perak mengenai ingatannya tentang tragedi banjir lumpur yang berlaku di perkampungannya 27 tahun lalu.
Itulah antara perkara paling menyayat hati dalam tragedi bertarikh 29 Ogos 1996, mengakibatkan 44 nyawa hilang dengan 39 mayat ditemukan, manakala lima lagi tidak dapat dikesan.
Menceritakan kembali perkara tersebut, Alang, 57, yang kini Tok Batin kampung Orang Asli Pos Dipang berkata, apabila hujan tanpa henti sejak awal petang dia rasa tidak sedap hati dan terus pergi ke arah sungai.
Pada mulanya dia hanya melihat air banjir biasa.
Namun kemudian merasakan gegaran dan terkejut melihat kepala air setinggi lima meter dipenuhi batang pokok.
“Masa itu penduduk pelik melihat banyak ikan naik secara tiba-tiba. Saya kemudian pergi ke hulu dan lihat air sungai dipenuhi kayu-kayu besar bergerak laju. Saya berlari dan menjerit minta penduduk masuk ke rumah,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Pengkisahan Sejarah Pos Dipang: Tragedi 29 Ogos 1996 anjuran Arkib Negara Malaysia (ANM) di sini baru-baru ini.
Program itu diadakan untuk memperingati dan menceritakan semula kejadian banjir lumpur yang berlaku pada 1996 dengan perkongsian detik-detik cemas mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut dan seterusnya dapat disebar luas dan dikongsikan kepada masyarakat.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, sewaktu menerima kunjungan pihak ANM Perak dan dibentangkan kertas cadangan sejarah Pos Dipang, beliau teruja kerana baginya peristiwa itu penting untuk disebarkan kepada masyarakat.
Sewaktu meninjau kawasan kejadian, beliau berasa sedih akan kejadian tersebut terutama melihat kawasan perkuburan mangsa-mangsa dipenuhi semak samun dan tidak bertanda. – UTUSAN