BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pemberian permit import atau AP kelapa dihentikan dengan segera bagi menjaga harga dan penghasilan kelapa di negara ini.
Ahmad Zahid yang ditanya mengenai isu lambakan buah itu di daerah ini yang tidak terjual akibat kemasukan kelapa import dari Indonesia yang lebih murah berkata, beliau akan meminta supaya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berbuat demikian dengan segera.
“Saya akan minta supaya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memberhentikan dengan segera pemberian AP atau permit import kelapa demi menjaga harga dan penghasilan kelapa di negara ini,” katanya.
Beliau ditemui pada Penutup Program Queenpreneur Baker di Dewan Sanmarka Orang India di Hutan Melintang di sini hari ini.
Ditanya mengenai cadangan penubuhan Lembaga Kelapa Malaysia untuk menggalakkan penanaman kelapa lebih meluas dan bagi mengurangkan import buah tersebut, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak perlu.
“Tak payah (penubuhan Lembaga Kelapa Malaysia), saya sudah suruh menteri pertanian ‘stop’,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan mengenai kesukaran pekebun dan peraih kelapa di Bagan Datuk untuk memasarkan kelapa berikutan harganya yang rendah disebabkan kemasukan buah itu dari Indonesia.
Malah, peraih dan pengusaha kelapa di sini mendakwa kini terdapat lebih 300,000 biji kelapa yang tidak terjual di daerah ini.
Masalah itu dialami sejak tiga bulan lalu menyebabkan kelapa yang tidak terjual kini sudah bercambah.
Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan mengatasi masalah ini dengan mengawal kemasukan kelapa Indonesia yang terlampau banyak ketika ini, termasuk mengawal pemberian AP kelapa.
Sementara itu, mengenai cadangan menubuhkan Lembaga Kelapa Malaysia, perkara itu diumumkan pada 2019 oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang ketika itu menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Setakat tahun 2020, keluasan kawasan penanaman kelapa di Malaysia adalah 84,942 hektar dengan jumlah pengeluaran 560 juta biji kelapa setahun. – UTUSAN