SEGAMAT: Tindakan Toyota Hilux yang menukar lorong kanan dan tidak berjaya memasuki lorong kiri semula sepenuhnya di Kilometer 167 Johor Bahru-Seremban, Segamat di sini, dipercayai menjadi punca nahas mengorbankan tiga warga emas wanita maut petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superitenden Ahmad Zamry Marinsah, pihak polis menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan kira-kira pukul 5.40 petang.
“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Honda Jazz dan pacuan empat roda Toyota Hilux.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke arah Segamat gagal memasuki lorong kiri jalan sepenuhnya dari arah kanan jalan lalu dilanggar dari arah belakang kiri oleh Honda Jazz.
“Pemandu Toyota Hilux hilang kawalan dan berlanggar secara berdepan dengan Perodua Alza dari arah bertentangan yang datang dari Segamat ke Johor Bahru.
“Akibat kemalangan itu, penumpang belakang Perodua Alza wanita berusia 89, 66 dan 62 tahun mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, pemandu Perodua Alza berusia 30 tahun dan enam penumpang lain berusia setahun sehingga 38 tahun dirawat di Hospital Daerah Segamat (HDS) berkeadaan tidak serius.
Ujarnya, Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan bersama seorang penumpang.
“Pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux dirujuk di HDS sementara pemandu Honda Jazz serta seorang penumpangnya tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN