PETALING JAYA: ‘Tolong zikirkan mama, okey?’
Demikian permintaan penyanyi, Kilafairy, 31, dalam satu video yang tular di platform TikTok. Video kurang satu minit itu menunjukkan pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan menziarahi pusara ibunya yang juga penyanyi Allahyarham Rohana Jalil.
Kilafairy dirakam membawakan sejambak bunga, menghiasnya di dalam pasu sebelum meletakkannya di hadapan batu nisan ibunya.
Video tersebut dilatari dengan muzik dan kata-kata mengungkapkan rasa kehilangan setelah seseorang pergi dalam hidup.
“Ruang itu akan selalu jadi milik mama” tulis Kila pendek sebagai kapsyen video tersebut.
Ramai yang menurunkan komen memuji Kila kerana menjaga pusara ibunya dengan cermat.
“Inilah yang dikatakan bahawa harta yang bernilai ialah anak soleh. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulis satu komen.
“Saya sangat faham rasa rindu itu kerana saya juga kehilangan emak,” tulis pengguna yang lain.
“Saya setiap minggu pergi kubur mak, mengadu dekat situ,” ujar satu komen.
Untuk rekod, Allahyarham Rohana mengembuskan nafas terakhir pada 20 Jun lalu, jam 11:34 malam akibat kebocoran usus.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.
Antara lagu popularnya adalah Rayuan Ku, Resah Ku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez dan Jauh Terkenang.