IPOH: Hidup serba kekurangan dengan pendapatan keluarga tidak menentu, tidak menghalang Kasanah Mukkeri, 79, memberikan pendidikan terbaik kepada lapan anaknya.
Harapan tinggi yang diletakkan untuk melihat anak-anak berjaya mendorong Kasanah dan arwah suami, Yusoff Mawi melakukan pelbagai kerja termasuk menoreh getah, menjual kuih, mengambil upah membersihkan kebun dan tanam semula getah.
Pengorbanan suami isteri itu meletakkan pendidikan sebagai keutamaan berbalas apabila kesemua lapan anak mereka cemerlang dalam pelajaran dan memiliki kerjaya yang stabil.
Menurut Kasanah, arwah suaminya sangat mementingkan soal pendidikan dan agama serta sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan pelajaran anak-anak tidak terabai.
Malah katanya, dia dan suami juga tidak sesekali membenarkan anak-anak berhenti sekolah meskipun kehidupan ketika itu amat sukar.
“Suami akan ikhtiar macam-macam cara tidak kiralah ambil upah menoreh getah pokok orang, menebas kebun dan tanam semula pokok selain saya juga bantu dengan jualan kuih dan menjahit.
“Alhamdulillah, anak-anak pun faham keadaan itu dan mereka juga sama-sama bantu berniaga,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini hari ini.
Pada majlis itu, Kasanah menerima wang RM5,000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Mengulas lanjut, Kasanah berkata, dia dan arwah suami gemar bersedekah dan amalan itu kini diteruskan pula oleh anak-anak.
Katanya, mereka suami isteri yakin amalan bersedekah bukan sahaja membantu melapangkan hidup malah menerangkan hati anak-anak dalam menerima pelajaran.
“Dulu, masa susah agak sukarlah untuk bersedekah, tetapi sekarang anak-anak sudah bekerja dan mereka bagi duit, jadi dengan duit merekalah saya niatkan semula sedekah bagi pihak mereka.
“Alhamdulillah, anak-anak semuanya sudah berjaya dan ada kehidupan yang baik. Sebagai ibu, saya sangat bersyukur dan tiada apa lagi yang saya mahu selain melihat mereka hidup dengan rukun dan damai,” katanya. – UTUSAN