Tindakan UMANY buang masa - Utusan Malaysia

Tindakan UMANY buang masa

KHALED Nordin ketika mengadakan lawatan ke Oppstar Berhad di Bangunan I2U Sains@ USM, di George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Tindakan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) yang memfailkan semakan kehakiman ke atas cadangan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institusi pengajian tinggi (IPT) seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dianggap hanya membuang masa semata-mata.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, garis panduan itu tidak wujud kerana beliau sendiri tidak meluluskan garis panduan berkenaan.

”Garis panduan ini tidak lulus, hanya buang masa. Benda itu (garis panduan) tidak ada. Jadi nak buat semakan kehakiman untuk benda yang saya tidak lulus buat apa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Oppstar Berhad di Bangunan I2U Sains@ USM, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan UMANY yang akan memfailkan semakan kehakiman ke atas cadangan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institusi pengajian tinggi (IPT) seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menerusi kenyataannya, UMANY berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi melindungi autonomi mahasiswa yang didakwa semakin berkurangan jika cadangan garis panduan sedang dirangka Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) itu diluluskan.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan berkaitan garis panduan berkenaan mengundang kritikan kerana didakwa mengekang hak dan autonomi mahasiswa untuk menganjurkan acara hiburan.

Garis panduan itu antaranya didakwa memperkenalkan kod pakaian yang melarang pakaian memaparkan logo illuminati, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) selain simbol lucah serta rambut punk.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihak berkaitan tidak sepatutnya mempolitikkan isu tersebut memandangkan KPT menyerahkan kepada mahasiswa dan pengurusan setiap IPT dalam menentukan garis panduan bagi penganjuran sebarang aktiviti hiburan yang ingin diadakan.

”Saya sudah serah kepada pelajar, kenapa mahu politikkan (isu garis panduan konsert), ada banyak cara lain untuk popular,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya