SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru yang sengaja menggunakan anak murid sebagai kandungan laman sosial demi kepentingan peribadi mereka.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu mempunyai garis panduan yang ditetapkan bagi sebarang aktiviti melibatkan pelajar sekolah.
“Semua guru diingatkan supaya mematuhi semua peraturan itu terutama berkaitan isu integriti seumpamanya yang mampu menjejaskan reputasi golongan pendidik. Saya mengambil maklum mengenai perkara itu.
“Justeru, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pihak terlibat sekiranya didapati bersalah melakukannya,” katanya ketika ditemui selepas program Townhall Rakyat di Kompleks Karangkraf, semalam.
Golongan ibu bapa dilaporkan menyelar sikap segelintir guru yang sengaja menggunakan anak murid sebagai kandungan untuk dimuat naik ke akaun laman sosial mereka demi mengejar populariti dan mendapat habuan peribadi.
Walaupun ada sesetengah video yang mengundang simpati, namun ia tetap dianggap menggunakan anak murid sebagai prop (alat peraga) untuk guru menambah jumlah pengikut supaya mudah jika mahu nempromosikan barang jualan.
Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendedahkan pihaknya menerima sekurang-kurangnya satu aduan sehari daripada ibu bapa mengenai anak mereka yang dijadikan kandungan peribadi media sosial guru.
Presidennya, Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan percaya banyak lagi kes yang berlaku, namun tidak dilaporkan secara meluas.
Mengulas lanjut, kata Fadhlina, semua ibu bapa diminta menyalurkan aduan rasmi kepada KPM menerusi saluran yang disediakan.
“Kita perlu merekodkan aduan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dan tindakan lanjut dilakukan kelak. Jika siasatan mendapati wujud kesalahan, tindakan serta merta akan diambil kepada guru tersebut tanpa kompromi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau ketika sesi wacana menjelaskan tiada istilah krisis dalam pendidikan negara namun ia lebih kepada cabaran dalam mendepaninya.
“Perkara paling penting kini memfokuskan akses pendidikan iaitu kemudahan asas dan prasarana sekolah daif di seluruh negara. Selain dasar pendidikan sedia ada, kita perlu mengelak tiga ‘dosa’ utama dalam KPM iaitu buli, jenayah seksual dan isu perpaduan,” tegasnya. – UTUSAN
FADHLINA SIDEK