KUALA LUMPUR: Setiap tindakan yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan mahu menjadi popular sebaliknya mahu melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang tegas, ikhlas dan profesional.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebagai pasukan penguat kuasa, PDRM tidak perlu takut, bimbang atau gusar dalam mengambil tindakan.
Jelas beliau, selagi tindakan itu mengikut undang-undang, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan ikhlas dilaksanakan tanpa ketakutan dan berpihak kepada mana-mana, tidak perlu bimbang.
Ayob Khan berkata, pihak PDRM mungkin akan dikritik dan ditohmah atas dakwaan tidak menjalankan tugas secara profesional atau siasatan serta tangkapan ‘terpilih’.
“Sudah menjadi satu budaya di Malaysia apabila PDRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan menjalankan siasatan dan tangkapan ke atas sesuatu pihak, akan dituduh dan ditohmah.
“Tindakan diambil ke atas pihak A, mereka akan mengkritik kita. Pihak B pula akan memuji kita. Sebaliknya, sekiranya tindakan diambil ke atas pihak B, pihak A akan memuji kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Perhimpunan Bulanan yang diadakan di Bukit Aman pagi tadi.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pemantauan lebih ketat juga akan dilakukan pengurusan tertinggi PDRM bagi kes-kes salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM.
Kata beliau, bagi mengatasi perkara ini, ketegasan dan keberanian diperlukan dalam penyeliaan melalui kaedah pemantauan lebih ketat.
Jelas beliau, sebagai penyelia, bermula daripada pucuk pimpinan sehingga ke bawah akan dipertanggungjawabkan sekiranya gagal menyelia dan mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota di bawah seliaannya yang terlibat dalam salah laku.
“Tidak ada lagi alasan dalam kalangan penyelia-penyelia untuk tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam salah laku kerana mereka mahu popular atau menjadikan aspek ‘esprit de corps’ sebagai keengganan mengambil tindakan tegas.
“Bukan sekadar tindakan, malah, teguran juga tidak diambil kerana tidak ada keberanian dan ketegasan,”jelasnya.
Justeru, semua Pengarah, Komisioner Polis, Ketua Polis Negeri, Komander, Komandan, Pegawai-Pegawai Pemerintah, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Polis Daerah wajib mengambil tindakan tegas dalam menguatkuasa Peraturan 3C iaitu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 ini tanpa gagal. -UTUSAN