BENTONG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
Calon BN diwakili Datuk Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
Pengumumkan calon terbabit dibuat Pengurus pilihan raya N36 Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail pukul 10.16 pagi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.
Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.
Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan Kasim (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi. – UTUSAN