PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dengan bencana gempa bumi yang melanda Maghribi setakat hari ini.
Mengesahkan situasi itu, Kementerian Luar bagaimanapun menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di negara itu sentiasa berwaspada serta mengikuti prosedur dan garis panduan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Maghribi.
“Rakyat Malaysia yang berada di Maghribi turut dinasihatkan untuk berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Rabat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam kejadian yang mengorbankan lebih 1,000 orang terkorban dan lebih 1,000 cedera itu, Malaysia menzahirkan simpati dan mengucapkan takziah kepada kerajaan serta rakyat Maghribi yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda di Marrakech, semalam.
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Rabat memantau perkembangan pasca-gempa bumi berkekuatan 6.8 pada skala Richter yang melanda negara itu.
“Angka kematian dijangka meningkat, susulan masih adanya mangsa-mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan,” katanya. – UTUSAN