PETALING JAYA: Pelakon, Shah Iskandar mengakui lebih berhati-hati dalam pergaulan sesama rakan pelakon dan menjaga batas supaya tidak terpalit dengan kontroversi melibatkan rumah tangganya.
Kongsi pelakon kelahiran Singapura ini, dia tidak mahu terlibat dalam sebarang skandal yang akhirnya melukakan perasaan ramai orang apatah lagi dia pernah terjebak dengan cinta lokasi sebelum berkahwin dahulu.
“Ketika ini, saya fikir tiada apa lagi yang saya mahu kejar dan inginkan kerana sudah cukup bahagia dengan isteri dan cahaya mata berusia tiga tahun.
“Kalau ketika masih solo, tak salah kalau terbabit cinta lokasi. Tidak menggugat atau melukakan sesiapa. Tetapi kalau sudah berumah tangga, lebih baik cuba elakkan atau beri ruang.
“Bagi saya, mudah sahaja. Jangan berskandal lepas kahwin, bimbang bawa bala berbanding bahagia,” katanya ketika ditemui di set penggambaran Bukan Cinta Sempurna di Bangi, baru-baru ini.
Dalam pada itu, tambah pelakon berusia 41 tahun ini lagi, seiring peningkatan usia dan tanggungjawab sebagai bapa, dia juga harus selektif dalam menerima tawaran berlakon terutama babak-babak keterlaluan.
“Zaman sekarang, dengan teknologi dan cara pengarahan, adegan mesra atau intim boleh dilakonkan dengan pelbagai cara. Permainan kamera pun membantu.
“Tetapi saya sebenarnya tak kisah nampak jahat atau dibenci dalam drama. Kalau dikecam warganet pun, saya boleh handle. Asalkan mesej sampai dan pada masa sama pastikan aksi tidak melampau,”,” ujarnya.
Bercakap tentang drama baharu, Bukan Cinta Sempurna, Shah mendedahkan menerima pelbagai pesanan langsung (DM) dan komen di Instagram yang meluahkan ‘kebencian’ terhadap wataknya Aniq.
“Isteri ada kata laluan Instagram saya, kerana antara kami memang tiada rahsia. Jadi, bila tiba-tiba ada yang marah saya dengan menyebut nama Qistina, pasti wujud prasangka itu.
“Padahal itu adalah watak Ayda Jebat. Mungkin ada yang geram sangat dengan Aniq sehingga meluahkan kebencian itu di media sosial saya,” katanya.
Untuk info, Shah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Siti Sarah Mohd. Noor pada 2016 dikurniakan seorang putera, Yusuf Zulkarnaen yang kini berusia tiga tahun.