Tiada peruntukan halang pendakwaan terhadap Rosmah

Tiada peruntukan halang pendakwaan terhadap Rosmah

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dan lari cukai yang dihadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor menyatakan tiada sebarang peruntukan yang boleh menghalang mereka daripada mendakwa wanita terbabit di atas kesalahan tersebut.

Dakwaan bekas wanita pertama itu bahawa mahkamah jenayah mengambil alih tugas Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) apabila membicarakan 17 pertuduhan yang dihadapinya juga adalah tidak berasas.

“Tiada apa-apa peruntukan di bawah rangka kerja Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menghalang atau melarang pendakwaan kesalahan ketidakpatuhan seksyen 77(1) akta sama melainkan dan sehingga pertikaian pemohon (Rosmah) berkenaan isu pendapatan boleh dikenakan cukai diputuskan oleh SCIT. 

“Dakwaan pemohon bahawa mahkamah jenayah mengambil alih fungsi SCIT adalah tidak berasas kerana mahkamah akan mengadili kesemua 17 pertuduhan dalam bidang kuasa jenayah dan menurut prosedur yang diperuntukkan dalam undang-undang prosedur jenayah,” ujar Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yin Tinn.

Selain itu, pendakwa raya itu turut menyatakan Rosmah menggunakan peruntukkan undang-undang yang tidak tepat berhubung jenis pendapatan yang boleh dikenakan cukai.

“Alasan-alasan yang diberikan oleh pemohon tidak mencerminkan kedudukan undang-undang yang betul. 

“Isu sama ada pertuduhan ke-13 sehingga ke-17 adalah terjumlah kepada jenis pendapatan yang boleh dikenakan cukai (chargeable income) merupakan persoalan yang diputuskan menurut ruang lingkup seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan bukannya bergantung kepada kewujudan apa-apa perintah, arahan, permintaan mahupun taksiran yang dibuat oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri,” kata Yin Tinn.

Timbalan Pendakwa Raya itu berkata demikian dalam afidavit balasan yang difailkan awal pagi semalam bagi menjawab permohonan Rosmah untuk membatalkan 17 pertuduhan yang dihadapinya.

Rosmah sedang dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 dan 2018.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos lalu dan dua orang saksi dipanggil memberi keterangan.

Permohonan untuk membatalkan pertuduhan tersebut ditetapkan untuk pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy pada 13 Disember ini.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Menurut ucapan pembukaan perbicaraan kes tersebut, Rosmah mendepositkan puluhan keping cek dan wang tunai berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun Affin Bank miliknya walaupun beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika itu.

Wang lebih RM7 juta itu didakwa digunakan oleh Rosmah untuk membayar bil-bil telefon dan kad kredit miliknya dan ahli-ahli keluarganya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN