KOTA BHARU: Keputusan tiada pemilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas dibuat oleh ahli supaya Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kekal menerajui parti.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu juga tidak pernah melarang supaya jawatan berkenaan tidak dipertanding dan bukan seperti yang dilakukan UMNO.
Katanya, bagaimanapun untuk jawatan Naib Presiden Pas, semua calon menang tanpa bertanding.
“Asalnya ada perlawanan dan ada empat calon iaitu tiga yang sedia ada serta seorang lagi adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor.
“Namun Muhammad Sanusi menarik diri atas alasan tertentu menyebabkan ketiga-tiga calon lain dikira menang tanpa bertanding serta calon yang diketengahkan hanya empat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Hari Keputeraan ke-54 Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi Pas pada Muktamar Tahunan ke-69 parti itu yang dijadual berlangsung bulan depan.
Katanya, lima jawatan itu ialah Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden. – UTUSAN