Tiada istilah pensyarah hanya berada di pejabat 'berhawa dingin' - Utusan Malaysia

Tiada istilah pensyarah hanya berada di pejabat ‘berhawa dingin’

AZMAN CHE MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Semua pensyarah universiti awam mempunyai tiga kriteria utama untuk penilaian tahunan yang memerlukan mereka turun ke lapangan dan bersama-sama dengan masyarakat.

Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Prof. Dr. Azman Che Mat berkata, tiada istilah pensyarah hanya berada di pejabat ‘berhawa dingin’ kerana mereka perlu memenuhi tiga kriteria untuk penilaian tersebut.

Menurutnya, tiga kriteria itu ialah penyeliaan (pra siswazah dan pasca siswazah), penyelidikan, penerbitan, konsultasi atau pakar bidang serta khidmat sosial yang perlu dilakukan oleh pensyarah.

Katanya, kesemua kriteria ini mesti dipenuhi untuk mendapat penilaian tahunan yang cemerlang atau baik. Hakikatnya ketiga-tiga kriteria ini memerlukan seorang pensyarah itu berada lebih banyak di lapangan.

“Contohnya untuk projek penyelidikan, kebanyakan geran yang dianugerahkan melibatkan 90 peratus pengumpulan data di lapangan khas dalam kajian sains sosial dan kemanusiaan. 

“Kajian armachair atau kepustakaan hanya digunakan untuk kajian literatur sebelum kajian sebenar dibuat di lapangan. 

“Kerja khidmat sosial pula, pensyarah perlu turun padang bersama masyarakat melakukan kerja amal dan dalam masa yang sama, kajian juga berjalan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan seorang Exco kerajaan negeri Terengganu, baru-baru ini, yang mendakwa kononnya tindakan wartawan mendapatkan komen daripada pensyarah yang hanya duduk di pejabat berhawa dingin sebagai langkah yang tidak beretika.  

Mengulas lanjut, beliau menyangkal dakwaan Exco tersebut malah menegaskan semua pensyarah universiti awam memang sentiasa turun padang untuk pengumpulan data di lapangan.

Katanya, trend dalam kajian sains sosial dan kemanusiaan sama ada berbentuk teori atau gunaan memang menjurus kepada pengumpulan data di lapangan.

“Pendek kata, kajian kepustakaan atau dalam bilik hanya berlaku dalam peringkat awal kajian. Selepas itu, pengkaji atau pensyarah akan turun ke lapangan sendiri atau bersama pembantu penyelidik untuk mendapatkan data yang sah dan tepat.

“Tuntasnya, pensyarah atau penyelidik universiti awam berfungsi untuk membekalkan maklumat dan dapatan kajian yang sebenar kepada pihak berkepentingan. Hal ini kerana etika utama dalam penyelidikan itu sendiri adalah integriti dan neutral,” katanya yang pernah terlibat dalam kajian dialog agama dan kajian seni khat sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya