Tiada calon dikemukakan bertanding lima jawatan tertinggi Pas - Idris - Utusan Malaysia

Tiada calon dikemukakan bertanding lima jawatan tertinggi Pas – Idris

IDRIS Ahmad (tiga dari kiri) menerima serahan bola sebagai gimik perasmian Karnival Bola D'Bendang yang diadakan di Parit Haji Taib 2, Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Tiada nama calon dihantar oleh Pas peringkat Kawasan menyebabkan lima jawatan tertinggi dalam parti itu tidak dipertandingkan pada Muktamar Tahunan ke-69 yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, ini bermakna lima jawatan itu ialah presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden bukannya tidak boleh dipertandingkan tetapi tiada nama calon yang dikemukakan untuk bertanding bagi semua jawatan tersebut.

“Maksud tidak dipertandingkan kali ini bukan membawa maksud melarang ahli-ahli Pas, terutamanya Pas Kawasan untuk menghantar nama calon untuk bertanding.

“Saya diberitahu boleh dikatakan semua Pas Kawasan memang tiada menghantar nama-nama calon untuk bertanding bagi lima jawatan itu.

“Perkara ini perlu diperjelaskan supaya tidak ada mana-mana pihak memanipulasi kenyataan yang telah dikeluarkan sebelum ini untuk dipolitikkan,” katanya kepada pemberita pada perasmian Karnival Bola D’Bendang di Parit Haji Taib 2 di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol yang juga Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Menurut Idris, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dicalonkan oleh Pas Kawasan di Kedah untuk bertanding bagi Jawatankuasa Pas Pusat.

“Awalnya ada Pas Kawasan yang mencalonkan Datuk Seri Muhammad Sanusi untuk bertanding satu daripada lima jawatan tertinggi itu.

“Difahamkan dia (Sanusi) menolak dan tarik diri, kemudian dicalonkan untuk bertanding Jawatankuasa Pas Pusat sahaja,” katanya.

Sementara itu, Razman berkata, namanya turut dicalonkan untuk bertanding bagi Jawatankuasa Pusat namun beliau menolak.

“Pas berbeza dengan parti politik yang lain yang mungkin berebut-rebut untuk menjadi calon untuk duduk dalam hierarki tertinggi parti namun ahli Pas bukan bersifat begitu.

“Seseorang ahli Pas yang telah dipilih untuk memegang apa juga jawatan akan bertanggungjawab sepenuhnya bagi mengalas amanah yang telah diberikan,” katanya.

Razman berkata, kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri akan dipilih dan dimuktamadkan oleh Pas Pusat.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, lima jawatan tertinggi Pas tidak dipertandingkan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69 tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya