SAYA ingin menegaskan dua hal sebelum melanjutkan ulasan ini dengan lebih panjang. Pertama, saya mencintai Denzel Washington. Kedua, The Equalizer adalah filem yang memancing saya untuk kembali mempercayai filem aksi Barat selepas hiatus saya beberapa tahun lalu lantaran kecewa dengan garapan dan plot penceritaan yang aneh.
The Equalizer menarik saya kembali ke kerusi panggung. Ia tidak hanya memberikan plot, garapan dan aksi yang menawan. tetapi juga karisma karakter Robert McCall yang misteri, tidak muda sekaligus melawan stereotaip paras kebanyakan pelakon aksi. Sejak itu, karya arahan Antoina Fuqua itu menjadi naskhah paling ditunggu dalam senarai filem-filem kesukaan saya.
Walaupun saya tidak begitu gembira dengan filem keduanya yang terbit pada 2018, namun saya masih menyimpan ruang dan kesempatan agar Antoina Fuqua dapat mengembalikan magisnya untuk filem penutup kepada trilogi The Equalizer. Begitulah, ada keterujaan dan kesedihan menyambut kemunculan penutup The Equalizer 3 ini.
Filem dibuka dengan mayat bergelimpangan di sebuah rumah penyimpanan arak di Sicily, Itali. Robert McCall duduk di atas sebuah kerusi membelakangi cahaya matahari di tengah ruang rumah.
Dua senapang diacu tepat ke kepalanya. Aksi pertama dibuka kemas selepas lima minit tayangan.
Tanpa membocorkan mana-mana jalan cerita, Robert kemudian ditembak dan dirawat di sebuah kawasan perumahan menemukannya dengan seorang doktor bernama Enzo. Di sana Robert menyaksikan bagaimana penduduknya diugut dan tinggal dalam ketakutan kerana dikawal oleh mafia. Menurut saya, ia sebuah pemula sebuah kisah konflik yang baik.
TIDAK BERTEMU BUKU DAN RUAS
Namun begitu, saya tidak tahu apa yang terjadi kepada Antoina Fuqua dan pasukannya kerana graf momentum filem ini jatuh meleset melepas act pertama. Satu demi satu protagonis tampil ke layar namun malangnya tidak cukup jahat. Dalam kata yang lebih mudah, mereka tidak bertemu buku dengan ruas.
Kerana tidak berada pada titik kegagahan yang sama antara penjahat ini dan Robert, maka kita boleh menjangkakan perjalanan Robert menumpaskan musuhnya menjadi sangat mudah.
Sayang sekali kerana ini adalah filem penutup. Alangkah bagusnya sekiranya plot ceritanya memberi lebih drama yang kompleks dengan acuan falsafah yang boleh melahirkan adegan manusiawi seperti filem pertamanya.
Lebih mengecewakan adalah klimaks filem ini. Hampir tidak ada babak yang benar-benar merentap perasaan, membekas untuk ditinggalkan dalam sebuah filem aksi penutup. Ada sebuah adegan ketika Robert dipanggil ke tengah perumahan kerana didakwa membunuh anak kepada seorang mafia, sayangnya api dendam dan kemarahan padam di situ.
Bukan itu sahaja, kemunculan watak Emma Collins selaku ejen CIA tidak ditampilkan dengan baik. Pembinaan karakternya tidak cukup mantap. Seolah-olah kalau Emma tiada, filem ini tetap akan berjalan tanpa mengurangkan nilai naskhah ini sedikitpun. Saya tidak pasti apa sebenarnya yang ingin ditonjolkan pengarah menerusi watak Emma.
Namun begitu, saya tidaklah mengatakan filem ini teruk dan buruk. The Equalizer 3 masih dalam kategori yang baik walau sedikit mengecewakan. Lakonan Denzel Washington dan karismanya masih menyelamatkan keseluruhan filem ini. Begitu juga dengan visual kota Itali di dalam filem ini dan mood diketengahkan sangat mengena.
Memandangkan Denzel Washington membuat keputusan untuk tidak lagi melakonkan The Equalize, saya sedikit terkilan kerana tidak boleh mengingat pengakhirannya dalam sebuah naskhah yang mengesankan.