Terpotong kepala zakar: Ganti rugi dipinda RM3 juta kepada

Terpotong kepala zakar: Ganti rugi dipinda RM3 juta kepada RM123,556

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini meminda jumlah ganti rugi RM3.1 juta yang sebelum ini diberikan kepada seorang pemuda yang terpotong kepala zakarnya ketika bersunat, 13 tahun lalu, kepada RM123,556.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ravintharan Paramaguru yang bersidang bersama-sama Datuk See Mee Chun dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati jumlah ganti rugi tersebut adalah terlalu tinggi dan ada di antara tuntutan tidak disokong oleh mana-mana dokumen.

“Kami tidak berhasrat untuk menggangu dapatan yang dibuat oleh hakim terdahulu berhubung isu liabiliti yang mendapati kesemua perayu telah cuai apabila melengahkan rawatan yang sepatutnya diberikan kepada responden (pemuda itu) sehinggalah pembedahan dilakukan pada pukul 8.30 malam.

“Bagaimanapun, bagi isu ganti rugi, kami mendapati campur tangan daripada pihak kami. Tuntutan bagi kos perundangan dan kehilangan pendapatan kerana menjaga anak dibatalkan disebabkan tiada sebarang bukti tuntutan.

“Ganti rugi am sebanyak RM2,000,000 adalah terlalu tinggi dan tidak disokong oleh sebarang dokumentasi. Oleh itu kami hanya memberikan RM100,000 bagi ganti rugi am.

“Ganti rugi teladan dan punitif yang masing-masing berjumlah RM500,000 setiap satu turut dibatalkan kerana ia tidak pernah dimasukkan dalam pliding saman,”kata Hakim Ravintharan dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian. 

Pada prosiding hari ini, perayu merupakan Kerajaan Malaysia; Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; Pengarah Hospital; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.

Mereka diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan manakala pemuda terbabit yang dinamakan sebagai responden dalam prosiding rayuan itu diwakili peguam, Mohamad Zainuddin Abu Bakar.

Pada 7 April 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kesemua defendan (perayu dalam prosiding hari ini) untuk membayar mangsa RM3.1 juta selepas membenarkan tuntutan samannya selepas memutuskan bahawa defendan-defendan telah melakukan kecuaian.

Jumlah tersebut merangkumi tuntutan ganti rugi khas sebanyak RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dan kos RM100,000 yang perlu dibayar kepada plaintif oleh kesemua defendan.

Dalam saman yang difailkan oleh pemuda terbabit melalui ibunya yang juga plaintif dalam kes saman itu, insiden malang tersebut berlaku di sebuah rumah mangsa di Kuala Lipis ketika lelaki itu berusia 10 tahun yang mana keseluruhan kepala zakar mangsa terpotong dan penyambungan semula tidak dilakukan tanpa mengikut prosedur yang betul.

Insiden tersebut berlaku pada pukul 10.30 pagi sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lipis. Mangsa kemudian ke Hospital Selayang pada pukul 3.20 petang sebelum menjalani pembedahan pada pukul 8.30 malam.

Ibu kepada mangsa dan memfailkan saman itu bagi pihak anaknya, memberitahu anak lelakinya itu kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi prosedur pembedahan menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar.

Selepas masuk hari ke-35, plaintif berkata, beliau terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.

Laporan perubatan menyatakan bahawa pemuda terbabit telah kehilangan 90 peratus daripada zakarnya.

Menurut penghakiman penuh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir kelewatan Hospital Kuala Lipis, Hospital Selayang dan beberapa pegawai perubatan termasuk doktor pakar mengambil langkah pantas untuk menyelamatkan kepala zakar pemuda itu, 12 tahun lalu telah menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa.

Ujar Hakim Akhtar lagi, ganti rugi dalam bentuk kewangan tidak mampu menampung `kerugian’ yang dialami mangsa namun mahkamah perlu memberikan ganti rugi yang boleh membantu mengurangkan beban mangsa dan keluarga dalam membantunya mendapatkan semula keyakinan untuk bersosial seperti manusia normal lain. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya