CYBERJAYA: “Masih terlalu awal untuk mengatakan reformasi sudah mati,” kata Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Khairy Jamaluddin yang menyifatkan keputusan mahkamah terhadap kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menjadikan ulang tahun ke-25 reformasi telah di batu nisankan dan menjadi ‘reformati’.
Lih Kang berkata, terlalu awal untuk menilai reformasi yang diperjuangkan PKR kerana banyak lagi agenda reformasi yang belum dilaksanakan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kerajaan ini masih muda. Jadi ada yang belum dilaksanakan. Beri masa dulu. Lepas tamat satu penggal baru boleh boleh menilai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penutup Cyberview Innoex 2023 di sini, hari ini.
Ditanya sama ada keputusan kes Ahmad Zahid itu akan mempengaruhi pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, Lih Kang bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Hari ini kita akan tahu (keputusan dua PRK),” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu membuat keputusan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Anwar sebelum ini menyatakan beliau tidak pernah campur tangan dan memberi arahan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung kes Ahmad Zahid.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, jika mempunyai kuasa menangguhkan keputusan mahkamah itu, beliau pastinya akan mengarahkan pembebasan terbabit hanya dibuat selepas selesai semua pilihan raya. – UTUSAN