Terkilan tidak sempat selamatkan nyawa dua rakan sekuliah - Utusan Malaysia

Terkilan tidak sempat selamatkan nyawa dua rakan sekuliah

JENAZAH salah seorang mangsa lemas di Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi dituntut ahli keluarganya selepas selesai urusan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Dungun, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) terkilan gagal menyelamatkan nyawa dua rakan sekuliahnya yang lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, di sini, semalam, walaupun dia sedaya upaya berusaha menolong kedua-kedua rakannya.

Sheikh Arif Habibullah Shekh Riduan, 20, berkata, ketika kejadian, kedua-dua rakannya iaitu Muhammad Khalili Hasnol dan Muhammad Qamarul Arifin Mohd Ramly yang juga berusia 20 tahun hanya bergurau senda ketika mandi. 

“Pada awalnya, kami sembilan orang mandi di kawasan cetek dan dua rakan saya bergurau-gurau ketika mandi. 

“Tiba-tiba saya tengok kedua-kedua rakan saya berada di tempat yang lebih dalam dan mereka tenggelam timbul ditarik arus. Saya terus berenang ke arah mereka dan cuba menarik tangan Qamarul sebab saya tahu dia tidak pandai berenang, namun tidak berjaya sebab dia seolah-olah ditarik arus. 

“Saya terpaksa lepaskan tangan Qamarul, kalau tidak, saya mungkin turut sama jadi mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini..

Sheikh Arif Habibullah berkata, dia kemudiannya berenang mendapatkan dua pelampung dan kembali kepada dua rakannya, namun tidak membuahkan hasil.

“Bila saya pergi lagi sekali, saya lihat kedua-kedua rakan saya sudah tenggelam. 

“Saya nak cuba juga dapatkan mereka, namun rakan-rakan yang lain menjerit supaya saya berpatah balik demi keselamatan saya. Ketika itu memang saya rasa sangat kecewa dan terkilan gagal selamatkan kedua-duanya,” katanya.

Pelajar semester lima Diploma Teknologi Maklumat tersebut berkata, dia tidak lena tidur dan sering teringat detik cemas yang dilaluinya semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian, mereka bertiga bersama enam lagi rakan sekuliah mereka yang menyewa di Kampung Alor Tempoyak, bermotosikal ke kawasan air terjun tersebut untuk mandi mandi sempena cuti Maulidur Rasul. 

“Kami bertolak pukul 4.30 petang dan tiba kira-kira pukul 5.15 petang. Tak sampai 10 minit kami semua mandi, kejadian ini berlaku. 

“Sebelum ini dua rakan saya pernah ke air terjun ini bersama rakan serumah lain tahun lalu. Semalam pun, sebenarnya kami hanya mahu habiskan masa hanya satu jam sahaja dan mahu pulang sebelum Maghrib,” katanya.

Mayat kedua-kedua mangsa ditemui kira-kira 8.40 malam di dasar air terjun tersebut pada kedalaman lima meter oleh pasukan penyelamat. 

Menurutnya, jenazah Muhammad Qamarul selamat dikebumikan di kampung halamannya di Taman Tas, Kuantan, Pahang, kira-kira pukul 10 pagi tadi, sementara jenazah Muhammad Khalili akan dikebumikan di Ampang Jaya, Selangor selepas solat Jumaat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya