Teori `last seen' hanya andaian -Peguam

Teori `last seen’ hanya andaian -Peguam

SAMIRAH Muzaffar ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 21 Jun 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya kerana Samirah dan dua remaja lelaki merupakan individu terakhir dilihat bersama Nazrin Hassan, ia tidak boleh dijadikan asas bahawa mereka membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund itu.

Menurut peguam, Rahmat Mohamed Hazlan yang mewakili bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki itu, teori `last seen person’ tidak boleh diterima pakai kerana pihak pendakwaan perlu menunjukkan kaitan di antara kesemua responden dan jenayah yang dikatakan dilakukan.

Dua remaja lelaki itu kini berusia yang kini berusia 18 dan 21 tahun.

“Dalam kes ini, tiada bukti langsung atau bukti mengikut keadaan yang menunjukkan kesemua responden melakukan kesalahan tersebut. Mahkamah Tinggi mendapati teori tersebut hanyalah andaian pendakwaan sahaja,” ujarnya.

Menurut Rahmat, pegawai penyiasat kes juga tidak pernah memberikan sebarang keterangan mengenai perkara tersebut, malah, pakar patologi forensik daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Siew Shue Feng juga tidak pernah menyatakan perkara tersebut atau ditanya mengenainya.

“Saksi Pendakwaan (SP) 57, pegawai penyiasat, Asisten Superintendan, Mohd. Nizam Daud ketika memberi keterangan bersetuju, kalau satu pembunuhan berlaku, adalah logik untuk membakar mayat di atas tilam.

“Selain itu, tiada sebarang kaitan di antara tong petrol dan kesemua responden kerana tong tersebut diambil dari pejabat mangsa bekerja di Cradle Fund, dua tahun selepas kejadian,”kata peguam itu.

Pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Jun 2022 yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin. 

Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja turut memfailkan rayuan silang bagi mencabar penemuan fakta oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin pada 14 Jun 2018 “dilakukan dengan sengaja” dan selain isu kecederaan di kepala Nazrin.

Sementara itu, berhubung rayuan silang, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar Mahkamah Rayuan memadamkan dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Kami tidak merayu terhadap keputusan melepaskan dan membebaskan tetapi memohon agar mahkamah memadamkan kenyataan yang agak mengganggu kerana ia boleh memberikan kesan terhadap anak guam saya. Mereka adalah daripada keluarga yang dikenali dan publisiti mengenai perkara ini adalah tidak adil buat remaja-remaja ini.

“Walaupun terdapat pembebasan, kemungkinan berlaku salah laku di sisi undang-undang berlaku (miscarriage of justice) disebabkan persepsi salah orang awam. Oleh itu, saya memohon untuk mahkamah membuat semakan sama ada kebakaran adalah disengajakan atau tidak,”kata Muhammad Shafee.

Pada 21 Jun 2022, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Ab. Karim Ab. Rahman dalam penghakiman lisannya berkata, mahkamah menerima keterangan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki serta pegawai penyiasat Halim Zulkefeli yang menyimpulkan kebakaran itu disengajakan.

Beliau turut merujuk keterangan ahli patologi kanan, Dr. Siew Sheue Feng yang berkata, tiada kesan jelaga ditemukan dalam paru-paru Nazrin.

Mengenai kecederaan di kepala Nazrin, Hakim Ab. Karim berkata, mahkamah menerima keterangan Dr. Prashant Sanberker yang berkata, punca kematian Nazrin adalah akibat “berbilang hentakan objek tumpul di kepala”.

Hujahan di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersambung 19 September ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN