Tengkujuh: Pelancongan pulau tutup operasi, rugi 40 peratus - Utusan Malaysia

Tengkujuh: Pelancongan pulau tutup operasi, rugi 40 peratus

SEBAHAGIAN daripada pelancong yang berkunjung di Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keba­nyakan pengusaha hotel, resort dan chalet di pulau-pulau peranginan Terengganu akan menghentikan operasi pada pertengahan Oktober ini berikutan musim tengkujuh.

Meskipun tiada arahan rasmi penutupan pulau-pulau peranginan daripada kerajaan ne­geri atau Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, langkah itu demi keselamatan pengunjung.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, kebiasaan kedatangan pelancong akan merosot hingga 80 peratus pada musim tengkujuh.

“Setiap tahun, sudah menjadi rutin pengusaha untuk menghentikan operasi bermula Oktober hingga Februari kerana laut bergelora dan ombak kuat sa­ngat berisiko terhadap pelancong.

“Namun, ada juga pengusaha kecil-kecilan yang menerima kemasukan pelancong terutama peminat sukan luncur air atau pelancong dari luar negara yang mahu datang ke Pulau Perhentian untuk melihat sendiri kehidupan penduduk tempatan sepanjang musim tengkujuh.

“Bagaimanapun pengusaha pelancongan lazimnya akan mem­beri penerangan terperinci mengenai risiko keselamatan dan sentiasa merujuk kepada ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ketika ini terdapat 78 premis penginapan seperti resort, chalet dan homestay milik orang perseorangan yang beroperasi di Pulau Perhentian.

Di Pulau Redang pula, situasi sama dihadapi oleh pengusaha resort dan chalet yang terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu manakala kebanyakan pekerja pula akan pulang ke daratan untuk mencari pekerjaan sambilan yang lain sepanjang tempoh tersebut.

Pemandu bot yang juga anak jati Pulau Redang, Mohamad Harun, 44, berkata, beliau dan rakan-rakan yang lain akan mengurangkan aktiviti snorkeling dan selam skuba sebaik sahaja musim Monsun Timur Laut bermula pada pertengahan Oktober.

“Kami di Pulau Redang akan memanfaatkan masa yang ada untuk memancing sebagai sumber rezeki sepanjang tengkujuh, dapatlah menampung keperluan asas sepanjang tempoh itu.

“Ada juga yang mengambil upah bekerja sambilan di kedai makan atau mereka yang mempunyai kemahiran pertukangan, akan ambil upah baik pulih kerosakan rumah, resort atau chalet di sekitar pulau,” katanya.

Sementara itu pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort, Hawa Abd. Rahman pula berkata, beliau mengalami lebih 40 peratus kerugian kerana terpaksa menutup operasi selama empat bulan berikutan tengkujuh.

“Pada masa sama, saya tetap perlu membayar kos operasi seperti bil solar dan lima pekerja yang memang sentiasa berada di resort.

“Keuntungan yang diperoleh sepanjang tempoh kemun­cak kedatangan pelancong pada musim cuti persekolahan akan digunakan untuk menampung kerugian ini, alah bisa, tegal biasa.

“Situasi ini memang perlu dihadapi setiap tahun dan terpulang kepada pengusaha pelancongan untuk merancang sebaiknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya