Tempoh 2 bulan untuk status representasi bekas MB Perlis

Tempoh 2 bulan untuk status representasi bekas MB Perlis

AZLAN Man (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes tuntutan palsu dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memberi tempoh dua bulan agar pihak-pihak memaklumkan perkembangan representasi bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang menghadapi lima pertuduhan masing-masing bagi kes tuntutan palsu dan pengubahan wang haram.

Hakim Azura Alwi menetapkan 10 November ini bagi tarikh sebutan kes supaya mahkamah dimaklumkan berhubung status representasi tersebut.

“Jika pada tarikh itu, tiada perkembangan lanjut berhubung representasi, maka pihak-pihak harus bersedia untuk memulakan perbicaraaan kes,” kata Azura.

Terdahulu, peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan memohon lanjutan masa untuk membolehkan pihak pembelaan melengkapkan representasi agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji semula pertuduhan terhadap anak guamnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai memaklumkan kepada mahkamah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu belum menghantar surat representasi untuk penelitian AGC.

Pihak pendakwaan turut tidak membantah lanjutan masa yang dipohon oleh peguam tersebut.

Ketika kes disebut pada 9 Jun lalu, Burhanudeen mengesahkan pihak pembelaan sudah menerima dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC) selain memohon masa untuk meneliti dokumen tersebut sebelum menyediakan representasi.

Perbicaraan terhadap Azlan dijadual didengar secara bersama bagi lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu mencecah lebih RM1.18 juta dan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta.

Azura membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar 10 pertuduhan itu dibicara bersama mengikut Seksyen 165 CPC dan permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

Pihak pendakwaan juga sudah menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 51A CPC kepada pihak pembelaan untuk digunakan pada perbicaraan kelak.

Azlan sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu sementara lima pertuduhan AMLA di ibu negara.

Pada 12 April lalu, Azlan didakwa di sini atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta, sembilan tahun lalu.

Azlan didakwa menerima wang di antara RM196,651 dan RM224,404.40 melalui empat keping cek dan secara tunai di beberapa buah bank di sini dan di Putrajaya serta di sebuah hotel di antara 2014 dan 2017.

Pertuduhan pertama, bekas Menteri Besar itu didakwa menerima wang RM208,339.90 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. melalui cek Maybank yang dibayar ke dalam akaunnya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 19 Februari 2014.

Pertuduhan kedua, Azlan didakwa menerima RM196,651 daripada syarikat sama melalui cek pada 9 Februari 2015 juga di tempat serupa.

Tertuduh turut didakwa atas pertuduhan ketiga menerima RM224,404.40 daripada syarikat itu yang dibayar ke dalam akaun CIMB miliknya di bank berkenaan cawangan Putrajaya, Kementerian Kewangan pada 2 Februari 2016.

Pertuduhan keempat, Azlan didakwa menerima RM222,811.95 daripada Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank cawangan Putrajaya pada 3 April 2017.

Pertuduhan kelima, Azlan didakwa menerima wang tunai RM207,468 daripada Abdul Rahim Halim mewakili Aidil Travel & Tours yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa ia dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pada 10 April lalu, tertuduh didakwa di Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis.

Azlan selaku Menteri Besar Perlis didakwa mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.

Menurut pertuduhan, Azlan didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau.

Tertuduh berniat memperdayakan prinsipalnya membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerjaaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, antara 11 Disember 2013 dan 14 Disember 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya