Taman Eko Rimba di Chemerung dibuka tahun depan - Utusan Malaysia

Taman Eko Rimba di Chemerung dibuka tahun depan

SEBAHAGIAN daripada peserta Cabaran Climbathon Gunung Tebu (MTCC) 2023 di Taman Eko Rimba Lata Belatan, Besut, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Taman Eko Rimba di Chemerung, Dungun akan kembali dibuka kepada orang ramai pada April tahun depan, selepas kawasan tersebut ditutup untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan, sejak November 2021.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd. Syahrir Azrin Salleh, berkata, usaha pemuliharaan yang dirancang sejak dua tahun lalu telah menunjukkan perkembangan positif.

Menurut beliau, ini termasuk kerja-kerja pembinaan dan menaiktaraf laluan trek di lokasi terkenal itu bagi pendaki ke Gunung Berembun yang sudah di peringkat akhir untuk disiapkan.

“Ramai yang sudah lama menanti untuk kembali mengunjungi Taman Eko Rimba Chemerung atau lebih dikenali dengan nama Chemerung, Berembun dan Langsir (CBL) selepas ditutup pada 2021.

“CBL dijangka akan kembali dibuka tahun depan dan ini pastinya berita ditunggu-tunggu oleh peminat sukan ‘outdoor’ dan aktiviti lasak yang berhajat ‘menawan’ Gunung Berembun.

“Pelbagai aktiviti sedang dirancang untuk merancakkan semula Taman Eko Rimba Chemerung yang sering menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan antarabangsa sebelum ini,” katanya.

Mohd. Syahrir Azrin berkata demikian selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Cabaran Climbathon Gunung Tebu (MTCC) 2023 di Taman Eko Rimba Lata Belatan, dekat sini semalam.

Seramai 529 peserta menyertai cabaran menawan gunung setinggi 1,037 meter itu dengan enam kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki dan wanita, veteran lelaki dan wanita serta tertutup lelaki dan wanita.

Kategori terbuka lelaki dimenangi Yusoff Abdul Manan yang melakukan pendakian dalam masa 2 jam 19 minit 15 saat (s) manakala Elsa Ng (3:15:56s) memenangi kategori terbuka wanita.

Mohd. Faisal Said pula mengungguli kategori veteran lelaki selepas mencatat masa 2:27:53s manakala kategori veteran wanita menjadi milik Dawn Ng dengan catatan masa 3:27:38s.

Kategori tertutup lelaki dan wanita masing-masing menjadi milik Aswari Mustaffa (2:17:20s) dan Mustika Ayuni Mostafa (3:13:11s).

Kesemua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM800, trofi serta baucer penaja berjumlah RM200. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya