T1 FC, PDSK A juara edisi sulung The Silent Killer Cup

T1 FC, PDSK A juara edisi sulung The Silent Killer Cup

PASUKAN-PASUKAN yang mengungguli Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah bawah lapan dan 10 tahun ‘The Silent Killer Cup 2023′ bergambar dengan hadiah kemenangan masing-masing di Padang Bola Sepak Kampung Rawai, Marang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pasukan T1 FC dan PDSK A dari Pahang masing-masing mengungguli kategori bawah 10 dan lapan tahun Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah ‘The Silent Killer Cup 2023′ di  Padang Bola Sepak Kampung Rawai, di sini semalam.

PASUKAN T1 FC dinobatkan sebagai juara sulung bagi kategori bawah 10 tahun Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah ‘The Silent Killer Cup 2023′ di Padang Bola Sepak Kampung Rawai, Marang.

Pasukan T1 FC menewaskan Meeyang Rovers C dari Terengganu untuk merangkul gelaran juara bagi kategori bawah 10 tahun kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Rawai Football (SRFC) itu.

Dua lagi pasukan Meeyang Rovers iaitu skuad A dan B pula menjadi pemenang bersama tempat ketiga dan keempat.

GELARAN juara The Silent Killer Cup 2023′ bagi kategori bawah lapan tahun dirangkul pasukan PDSK A dari Pahang.

Kategori bawah lapan tahun pula menyaksikan pasukan PDSK A menumpaskan Panglima Kidz dari Perak dalam perlawanan akhir yang sengit manakala Baarz Academy dan pasukan tuan rumah, SRJunior muncul pemenang bersama tempat ketiga serta keempat.

Pemenang bagi kedua-dua kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan medal manakala naib juara (wang tunai RM350, trofi dan medal) dan pemenang bersama tempat ketiga serta keempat meraih wang tunai RM100 dan medal.

Kejohanan julung kali anjuran SRFC itu berlangsung meriah dengan lebih 1,000 pemain, jurulatih, ahli keluarga dan peminat membanjiri Padang Bola Sepak Kampung Rawai sepanjang kejohanan berlangsung.

Sebanyak 52 pasukan berentap merebut kejuaraan kejohanan itu melibatkan lebih 570 pelatih berusia bawah 10 dan lapan tahun terdiri daripada akademi-akademi bola sepak dari seluruh negara.

Pengerusi SRFC, Ros Mohd. Muharam Wahab berkata, penganjuran kejohanan itu mencapai matlamatnya untuk menyemarakkan usaha mencungkil bakat dan mendedahkan pemain di peringkat akar umbi dengan suasana perlawanan kompetitif.

URUSETIA dan petugas yang membantu melancarkan penganjuran Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah ‘The Silent Killer Cup 2023′.

Katanya, sokongan dan kerjasama semua pihak khususnya dalam kalangan penaja dan penduduk Kampung Rawai sendiri yang mencakupi segenap lapisan usia menjadi faktor utama kejayaan penganjuran kejohanan berkenaan.

Menurutnya, sepanjang proses penganjuran sehingga hari kejohanan, penduduk Kampung Rawai sama ada generasi muda, dewasa dan berusia sama-sama menyumbang tenaga dan memberi kerjasama yang sangat baik.

“Alhamdulillah, kejohanan berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. Semangat kerjasama inilah yang menjayakan penganjuran ‘The Silent Killer Cup 2023′.

“Kami benar-benar terharu dan sangat menghargai kerjasama diberikan oleh masyarakat setempat yang bertungkus-lumus siang dan malam bagi memastikan kelancaran dan kejayaan kejohanan ini.

“Terima kasih juga kami ucapkan kepada para peserta, akademi-akademi bola sepak terlibat, ibu bapa, para penaja dan semua pihak yang tidak dapat disebutkan semua nama mereka,” katanya.

Menurut Ros Mohd. Muharam, berikutan sambutan dan kejayaan penganjuran sulung ini, pihaknya merancang menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan SRFC.

Bagi kejohanan kali ini, bekas penyerang Terengganu FC (TFC) dan pasukan kebangsaan, Ashari Samsudin yang mendapat julukan ‘The Silent Killer’ adalah penaungnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya