Syor pinda akta, perangi kartel beras

Syor pinda akta, perangi kartel beras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang meminda akta sedia ada dan memberi punca kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memantau dan mengawal harga beras di peringkat runcit serta memperluas penguatkuasaan di peringkat pemborong.

Senator Dewan Negara, Datin Ros Suryati Alang berkata, timbul persoalan sama ada kerajaan dapat meneruskan langkah seperti program jualan Rahmah beras yang dijalankan ketika ini sehingga harga makanan ruji tersebut kembali stabil.

Katanya, krisis beras tempatan yang dihadapi ketika ini berpunca daripada tindakan pihak tertentu yang memberi pelbagai alasan demi menaikkan harga dan memonopoli beras tempatan serta import.

“Ini kerana masalah (krisis bekalan beras) adalah di pihak pemborong yang mengawal beras import seterusnya mengawal harga mengikut kehendak mereka.

“Saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan agar dapat menyalurkan subsidi bagi pemborong beras tempatan supaya dapat memulihkan harga beras tempatan yang agak kritikal ketika ini,” katanya dalam persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Ketika ini negara berhadapan dengan isu bekalan beras terutama tempatan yang ‘hilang’ sehingga pengguna terpaksa membeli beras import yang harga jualannya lebih mahal lalu menjejaskan kewangan rakyat.

Bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin bekalan beras tempatan akan kembali stabil dalam tempoh sebulan lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sementara mencapai tempoh itu, pihaknya giat melaksanakan langkah intervensi menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menampung bekalan beras.

Ros Suryati berkata, kementerian juga perlu melakukan pemantauan dan penguatkuasaan harga dengan lebih kerap.

“(Ini) bagi memastikan harga tidak dimonopoli oleh pembekal atau kartel-kartel besar dalam industri.

“Kerajaan juga harus mencari jalan agar bahan asas tani dapat dikeluarkan dalam negara ini dengan mengoptimumkan kawasan tanah yang sesuai untuk menjalankan aktiviti pertanian,” katanya.

Untuk rekod, program Jualan Rahmah Beras yang dilaksanakan di seluruh negara bermula semalam menawarkan rakyat beras import dengan harga antara RM13 sehingga RM14 untuk setiap kampit lima kilogram (KG). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya