PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu sedar bahawa kemenangannya di Muar disebabkan sokongan oleh pengundi Pakatan Harapan (PH) bukan atas kapasitinya sendiri.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Syed Saddiq juga perlu faham bahawa PH yang banyak membantu beliau di Muar.
Beliau berkata, Syed Saddiq juga tidak menang atas kapasitinya sendiri serta parti yang diwakilinya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
“Saya nak beri amaran kepada Syed Saddiq bahawa kemenangannya di Muar adalah atas persefahaman kerjasama dengan PH. Dia tidak menang di Muar atas kapasiti partinya sendiri. Dia menang atas sebab persefahaman dengan PH.
“Kita tidak letak calon kita di sana (Muar), malah DAP dan PH sokong serta bantu kempen beliau ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Tahunan DAP 2023 di sini, hari ini.
Katanya, PH sendiri memberi enam kerusi kepada MUDA untuk bertanding pada PRU lalu bagi mengelak pertembungan dalam blok PH.
Loke berkata, PH juga memberi laluan kepada Syed Saddiq untuk menang di Muar dan kemenangan itu atas blok PH.
“Walaupun dia (Syed Saddiq) tidak bertanding atas bendera PH tapi dia bertanding atas blok PH. Justeru, dia juga ada obligasi untuk memastikan kemenangan beliau di Muar mendokong Kerajaan Perpaduan pada hari ini.
“Dia juga ada tanggungjawab itu dan dia menang atas undian daripada pengundi PH,” katanya.
Syed Saddiq sebelum ini menyatakan mahu menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan keputusan kes rasuah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Syed Saddiq dilaporkan berkata, MUDA tidak akan teragak-agak menilai kedudukan dalam menyokong Kerajaan Perpaduan jika tiga tuntutan parti itu terhadap perkembangan kes membabitkan Ahmad Zahid tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan. – UTUSAN