Syarikat disalah guna, Habsah Hassan habis RM10 juta cari

Syarikat disalah guna, Habsah Hassan habis RM10 juta cari keadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan mendakwa terpaksa berhabis sehingga RM10 juta membayar kos peguam bagi membersihkan nama syarikatnya yang disalah guna untuk mendapat pinjaman berjumlah RM23 juta.

Namun, setelah tujuh tahun turun naik mahkamah, kes penipuan tersebut belum selesai sehingga beliau yang kini berusia 73 tahun pernah menggadaikan tanah untuk menampung kos guaman.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Habsah berkata, beliau dan suami hanya menyedari mengenai syarikat miliknya Tenaga Wan Bersaudara disalah guna untuk buat pinjaman apabila didatangi wakil sebuah syarikat yang memberi pinjaman pada tahun 2016 untuk menuntut bayaran balik.

“Kami terkejut dan tertanya-tanya bagaimana Tenaga Wan Bersaudara boleh terkait dengan pinjaman RM23 juta sedangkan kami tidak pernah meminjam dengan syarikat tersebut,” kata veteran seni itu.

Menurut Habsah, beliau mengesyaki terdapat individu yang menggunakan dokumen palsu membabitkan syarikatnya untuk memohon pinjaman.

“Guna syarikat Tenaga Wan Bersaudara dan palsukan dokumen. Itu sebahagian modus operandi seorang penjual kenderaan bebas sebelum memiliki dan melarikan wang pinjaman diperoleh daripada tiga syarikat pinjaman wang antarabangsa dari Korea Selatan, yang tidak berlesen.

“Jumlah semua pinjaman daripada tiga syarikat itu RM23 juta. Tiga syarikat tersebut berpusat di Korea Selatan, Jerman dan Kuala Lumpur,” keluh Habsah.

Dakwa beliau lagi, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan individu terbabit pada tahun 2014.

“Kami mengesyaki perkara ini membabitkan kegiatan ‘orang dalam’ syarikat pemberi pinjaman wang terbabit kerana agak mustahil pinjaman sebanyak itu diluluskan tanpa mendapat pengesahan kami selaku pemilik syarikat,” katanya.

Kata Habsah, pelaku bukan sahaja melakukan penipuan dengan memalsukan dokumen, malah berjaya mengaburi syarikat pemberi pinjaman dengan mendaftarkan sebuah syarikat di Hong Kong yang beroperasi sebagai pembekal kenderaan yang berpusat di United Kingdom.

“Pelaku merupakan penjual kereta yang arif dalam selok belok perniagaan ini. Kami dapati dia mendaftarkan syarikat tersebut untuk meyakinkan yang kononnya kegiatan jual beli kenderaan yang diusahakannya, wujud. Hakikatnya, tiada kegiatan jual beli kereta yang dilakukan” katanya.

Kata Habsah, gara-gara kes tersebut, dia dan suami terpaksa turun naik mahkamah sejak 2016, menanggung kos guaman jutaan ringgit bagi membebaskan dan membersihkan syarikat daripada terus dikambing hitamkan si penipu.

“Keputusan perbicaraan dua kes berpihak kepada kami setelah kami lawan perbicaraan melalui proses arbitrasi di Korea Commercial Arbitration Board, Seoul. Syarikat pemberi pinjaman terbabit membawa kesnya ke Mahkamah Tinggi. Menerusi keputusan penghakiman pada 16 November 2018, tuntutan Plaintiff ditolak. Bermakna kami menang dalam kes ini.

“Bagaimanapun, syarikat pemberi pinjaman pada 13 Disember 2018 mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada Plaintiff. Justeru, keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 November 2018, diketepikan.

“Kami tiada pilihan, perlu terus lawan di mahkamah meskipun sudah berhabis jutaan ringgit, bergadai tanah demi menampung kos guaman bagi mendapatkan keadilan,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular ke-34 itu memaklumkan telah melaporkan kegiatan tidak bertanggungjawab si penipu tersebut kepada pihak berkuasa.

“Laporan telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada 8 Jun 2016 dengan mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan namun sehingga ke hari ini, statusnya masih dalam siasatan. Tujuh tahun berlalu tetapi siasatan masih belum selesai dan si pelaku masih bebas dengan duit jutaan ringgit yang diperolehi menerusi kegiatan penipuan tersebut.

“Awal tahun 2022, kami membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tiga suspek termasuk si penipu telah direman. Kami dimaklumkan pihak Timbalan Pendakwa Raya Malaysia telah memberi kebenaran untuk pertuduhan dibuat di Mahkamah, namun sehingga ke hari ini masih tiada tindakan diambil.

“Saya berharap si penipu segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan dan semoga kes ini diadili dengan telus, beramanah dan bermaruah,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN