Syafiq Abdillah pecah stereotaip fizikal - Utusan Malaysia

Syafiq Abdillah pecah stereotaip fizikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEMBAHAN bertenaga penyanyi meningkat naik, Syafiq Abdillah sempena konsert The Music of Stevie Wonder di Dewan Filharmonik Orkestra (DFP) baru-baru ini, pastinya menjadi antara perkara yang masih diperkatakan.

Kemunculannya pada malam itu membuka mata bahawa industri seni tempatan menghadirkan seorang bintang masih baharu berbakat besar yang dijangka menyerlah sebaris dengan penyanyi-penyanyi hebat masa kini.

Meskipun berbadan ‘comel’, Syafiq, pada konsert malam itu tidak sedikit pun canggung beraksi. Dia mampu memberikan persembahan nyanyian dan tarian dengan sangat cemerlang.

Penyanyi berasal dari Brunei ini memecah stereotaip yang kebiasaannya dikaitkan dengan individu berbadan besar.

Syafiq ketika dihubungi baru-baru ini, ada mengulas berkenaan isu stereotaip fizikal yang menjadi satu kebiasaan dalam dunia hiburan tempatan.

Katanya, dia sedar tentang keutamaan mengurangkan sedikit berat badannya dan sedang berusaha ke arah itu.

“Memang ada yang bertanyakan bila saya hendak kurus? Dan ada juga yang menyarankan saya membuatkan rawatan sedut lemak kerana mereka yakin kalau saya kurus nama saya akan lebih dikenali.

“Sejujurnya, soalan-soalan seperti itu tidak sedikitpun memberi kesan kepada perasaan saya. Dan Alhamdulillah saya tidak mudah terpengaruh dengan cadangan melakukan pembedahan untuk kurus.

“Sebenarnya sekarang saya sudah kerap bersenam demi meningkatkan kesihatan saya, bukan disebabkan faktor fizikal. Ketika fasa pandemik, saya kurang bersenam. Disebabkan itu stamina saya menurun. Tetapi sekarang saya sudah perbanyakkan latihan kecergasan, perlahan-lahan kurangkan berat badan,” katanya kepada Pancaindera.

Selain Syafiq, penyanyi berbakat besar Aisha Retno turut menyerikan konsert tersebut dan kemunculan pemain trombone terkenal dari Amerika Syarikat, Marques Young.

Syafiq memaklumkan konsert tersebut merupakan antara momen paling istimewa baginya sepanjang bergelar seorang penyanyi. Dia yang merupakan peminat penyanyi legenda Stevie Wonder merasakan cukup bertuah kerana diberi peluang memberi penghormatan buat penyanyi kesayangan di pentas yang cukup berprestij di Malaysia.

“Sampai sekarang saya macam tak percaya semua ini berlaku. Sebagai peminat Stevie Wonder sejak kecil, saya menganggap persembahan penghormatan itu sebagai peluang keemasan yang cukup berharga buat diri saya,” kongsinya lagi.

TIADA REZEKI JADI JURUTERBANG

Dibesarkan oleh ibu bapa yang berkerjaya di awan biru, Syafiq memberitahu sejak usia kecilnya dia menyimpan impian untuk menjadi seorang juruterbang. Bagaimanapun, dek kerana masalah buta warna, hasrat tersebut terpaksa dilupakan dan terus terkubur begitu sahaja.

“Saya sejak kecil memang suka menyanyi, namun pada masa sama, saya amat berminat dengan kerjaya penerbangan sampaikan saya sanggup berhabis wang untuk memiliki simulator penerbangan sendiri di rumah.

“Bagaimanapun, hasrat menjadi juruterbang lebur selepas doktor mengesahkan saya mengalami masalah buta warna. Tapi saya tidak kecewa, sebab ada kemahiran lain iaitu menyanyi dan bermain gitar,” katanya.

Bercerita tentang kerjaya seninya, Syafiq yang kini masih mempromosikan single Suara Hidup berharap satu hari nanti dia berpeluang menerbitkan sebuah lagu ciptaan sepenuhnya sendiri.

“Saya masih belajar untuk menulis dan mencipta lagu. Kalau boleh saya mahu hasilkan sesuatu yang berbeza. Pada masa sama, saya juga merancang untuk mengeluarkan sebuah lagi single, sekarang masih dalam proses pemilihan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya