Suri rumah lega kebajikan keluarga terbela selepas terima bantuan Perkeso - Utusan Malaysia

Suri rumah lega kebajikan keluarga terbela selepas terima bantuan Perkeso

NUR AMMERA Atan bersama empat anaknya ketika menerima kunjungan pegawai Perkeso di rumah keluarganya di Machang Bubok, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: “Dulu, semua arwah (suami) yang uruskan. Bil-bil semua dia bayar. Anak-anak semua dia tanggung. Jadi, bila dapat bantuan daripada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) ini, rasa kurang bebanan yang saya terpaksa tanggung selepas dia tiada kerana saya tak bekerja.”

Itu kata Nur Ammera Atan, 32, isteri kepada Muhamad Firdaus Rosli, 36, seorang penghantar makanan yang maut dalam kemalangan ketika sedang sedang bertugas menghantar pesanan makanan kepada pelanggannya, baru-baru ini.

Nur Ammera berkata, pemergian arwah suaminya secara mengejut itu benar-benar memberi kesan terhadap kehidupannya memandangkan dia bukan sahaja perlu menjaga empat anak secara bersendirian, malah perlu menjaga bapanya yang uzur.

“Saya akui, dari segi belanja itu (sejak ketiadaan arwah) memang agak terganggu sedikit kerana tiga daripada empat anak saya bersekolah dan seorang lagi masih bayi.

“Selain itu, saya juga memang tak pernah dapat bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini dan hanya mengharapkan arwah seorang sahaja yang bekerja,” katanya.

Nur Ammera ditemui ketika menerima kunjungan Timbalan Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Chiam Hong Lan di rumah keluarganya di Machang Bubok, di sini hari ini.

LEE Khai Loon (kanan) meluangkan masa melawat keluarga arwah Muhamad Firdaus Rosli yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, awal bulan lepas di Machang Bubok, Pulau Pinang hari ini.

Pada kunjungan itu, Hong Lan yang turut ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon turut menyerahkan surat pembayaran pencen penakat atas nama Allahyarham Muhamad Firdaus yang juga merupakan pencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Sebagai Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS), antara faedah yang diterima oleh waris Allahyarham di bawah skim itu ialah pencen bulanan sebanyak RM1,395 selain faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 secara ‘one-off’.

Mengulas mengenai nahas yang menimpa suaminya, Nur Ammera berkata, Muhamad Firdaus terlibat dalam kemalangan pada 2 Ogos lalu ketika dalam perjalanan menghantar tempahan pelanggan di Alma, dekat sini.

Katanya, arwah ketika itu dikatakan cedera parah iaitu pendarahan di kepala selain retak tempurung kepala.

“Arwah menerima rawatan terakhir di Hospital Bukit Mertajam (HBM) sebelum meninggal dunia pada 30 Ogos lepas. Ketika itu, memang saya buntu kerana tidak tahu apa perlu dibuat,” katanya yang memaklumkan, keluarganya dan arwah suami banyak membantu melancarkan urusan seharian mereka.

Dalam pada itu, ibu kepada Allahyarham Muhamad Firdaus iaitu Faizah Abdullah, 59, memberitahu, anak sulungnya itu menerima rawatan selama hampir sebulan di beberapa buah hospital termasuk HBM dan hari arwah meninggal dunia itu sepatutnya merupakan hari dia dibenarkan pulang ke rumah.

“Kami telah buat pelbagai persiapan (untuk menyambut kepulangan Muhamad Firdaus) termasuk membeli katil khas untuknya. Tapi, dia telah ditakdirkan untuk pergi dahulu dan kami sekeluarga reda,” ujar ibu kepada empat anak itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya