Sungai Sembilang tercemar, pendapatan nelayan terjejas - Utusan Malaysia

Sungai Sembilang tercemar, pendapatan nelayan terjejas

Sungai Sembilang
AIR tercemar berwarna hitam dan berbau mengalir keluar melalui Pangkalan Nelayan Sungai Sembilang, Jeram di Kuala Selangor, Selangor. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 60 nelayan yang mengusahakan ternakan benih kupang di muara Sungai Sembilang di sini mendakwa mengalami kerugian sehingga RM200,000 semusim akibat pencemaran.

Kerugian berkenaan dikira berdasarkan purata hasil kupang 80 kilogram (kg) bagi setiap jaring yang menurun sehingga 30kg dan pada waktu-waktu tertentu, mereka hanya mampu memperoleh RM2,625 untuk semusim.

Pencemaran didakwa menyebabkan setiap seorang nelayan yang mengusahakan projek tersebut kerugian lebih RM4,000 atau bagi setiap kali kutipan semusim yang sepatutnya mence­cah sehingga RM7,000 bagi berat satu tan metrik.

Seorang pengusaha, Jalal Mohd. Nor berkata. ternakan kupang diusahakan sejak 2018 untuk tujuan komersial dan sumber pendapatan nelayan dijual pada harga RM7 sekilogram.

“Ternakan kupang ambil masa hingga sembilan bulan untuk matang sebelum boleh dijual. Jadi untuk sekali musim hasilnya boleh mence­cah satu tan bergantung kepada rezeki dan itupun kalau tarik satu tali jaring boleh dapat sekitar 80kg.

“Sering kali dapat sekitar 30kg sebab kupang banyak mati akibat pencemaran Sungai Sembilang. Setiap kali laut surut air sungai berwarna hitam dan berbau mengalir keluar ke muara dan melalui kawasan tapak semaian kupang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dakwanya, pencemaran menyebabkan kupang tidak sempat membesar dengan sempurna apabila mati sebelum tempoh matang.

Pengusaha yang merupakan nelayan tradisional berpangkalan di Jeti Nelayan Sungai Sembilang gusar apabila sungai yang menjadi pangkalan mereka tercemar teruk apabila airnya berwarna hitam dan kerap kali menimbulkan bau busuk.

Lebih merisaukan air tercemar itu mengalir keluar sejauh 500 meter ke muara sungai yang merupakan tapak projek penyemaian benih kupang serta hidupan cengkerang lain termasuk kerang dan siput anak dara.

Selain projek itu, nelayan didakwa terpaksa keluar dari lingkungan satu hingga dua kilo­meter untuk menangkap ikan selepas kawasan itu dicemari dengan airnya yang kotor.

Tinjauan di sepanjang sungai berkenaan mendapati pencemaran yang berlaku dipercayai berpunca daripada tapak pelupusan sampah di Jeram, malah kawasan tersebut terdapat pe­nempatan haram.

Penempatan berkenaan tidak jauh dari jalan utama (Jalan Bukit Kerayong), namun ia terlindung dengan pokok kelapa sawit dan perlu melalui kawasan tapak pelupusan sampah untuk memasukinya.

Penempatan haram tersebut dikesan sepanjang kira-kira 100 meter dan mempunyai lebih 20 pintu menjadi rumah kongsi lebih 30 pekerja warga asing dari pelbagai negara yang bukan sahaja bekerja di tapak pelupusan sampah tersebut, bahkan di tempat lain.

Kedudukan rumah mereka terletak di sebalik dinding diperbuat daripada zink yang memisahkan kawasan tapak tersebut dengan Sungai Sembilang dan dikhuatiri pelepasan kotoran daripada pe­nempatan haram itu menyebabkan pencemaran sungai.

Hal tersebut dilihat sendiri pemberita menerusi air jernih mengalir dari Bukit Kerayong kelihatan jernih sebelum bertukar menjadi keruh berwarna hitam sebaik sahaja melalui rumah kongsi berkenaan.

Air berkeladak itu kemudian mengalir terus kira-kira tujuh kilometer (km) dari kawasan penempatan tersebut ke muara Sungai Sembilang memasuki perairan yang menjadi tapak semaian benih kupang, siput anak dara dan hidupan cengkerang lain hasil usaha nelayan di sana.

Dalam pada itu, seorang lagi nelayan di pangkalan tersebut, Abdullah Mahmud, 62, berkata, tiada lagi kerang dapat dikutip di perairan berhampiran muara sungai berkenaan sama ada untuk dijual ataupun dimakan sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya