Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul negeri Perak - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul negeri Perak

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta isteri, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Sambutan bertemakan ‘Rasulullah SAW: Mengungguli Peradaban Umat’ yang dihadiri lebih 2,000 hadirin itu dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan selawat beramai-ramai ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Pada sambutan tersebut, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada Kasanah Mukkeri, 79.

Ibu kepada lapan cahaya mata dengan kesemuanya memiliki kerjaya baik dalam pelbagai bidang itu dikurniakan wang RM5,000, plak dan sijil penghargaan.

Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) dikurniakan kepada penceramah, Amar Arif Ahmad Po’aad, 32; Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Media), Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, 59, dan Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pula diberikan kepada Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (KMM) Taiping.

Bagi Anugerah Tokoh Imam dikurniakan kepada Zainall Abidin Zulkifli, 72, manakala Tokoh Bilal dan Tokoh Siak masing-masing diberikan kepada Hamzah Ramli, 70, dan Muhammad Noor Abd. Yaseh, 81.

Masing-masing dikurniakan RM3,000, plak dan sijil penghargaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya