KUALA NERUS: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat bersatu padu membangunkan negeri dan mempertingkatkan perpaduan dengan mengikuti serta menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda.
Sultan Mizan bertitah, terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah terutama akhlak Baginda untuk diamalkan umat Islam.
Titah Sultan Mizan lagi, Nabi Muhammad adalah seorang yang amat menjaga keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama.
“Justeru itu, kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai di kalangan kita di samping memangkin usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab yang tinggi.
“Marilah atas rasa sayang dan kasih kepada Rasulullah, kita bina ummah ini dan rakyat jelata keseluruhannya ke arah kehidupan yang lebih harmoni, bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Beta mengharapkan ianya akan membawa negeri Terengganu yang dicintai ini menjadi sebuah negeri yang digambarkan oleh Allah dalam surah al-Saba’ ayat 15 yang bermaksud negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu ialah) Tuhan yang Maha Pengampun,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu 1445 Hijrah di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, hari ini.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Seterusnya baginda menyeru rakyat Terengganu agar menyemarakkan lagi kasih sayang sesama mereka, kerana Allah SWT sentiasa mencurahkan kepada makhIuk-Nya dengan segala kasih sayang melalui pelbagai nikmat dalam kehidupan di dunia.
“Sesungguhnya kasih sayang Allah mengatasi kemurkaan-Nya.
“Beta mendoakan semoga kita semua dirahmati dan diberi taufik oleh Allah SWT dan semoga apa yang dilaksanakan ini akan menjadi asbab untuk kita mendapat syafaat besar Rasulullah SAW pada hari akhirat nanti,” titah baginda.
Terdahulu seramai 2,208 peserta daripada 69 kontinjen menyertai perarakan yang bermula dari padang sintetik Kampung Tok Jiring hingga ke Stadium Tertutup. – UTUSAN