KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat yang menang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai, Johor baru-baru ini selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen kawasan itu di Dewan Rakyat pagi ini.
Beliau selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya akan dengan jujur menunaikan kewajiban saya sebagai yang demikian dengan segala upaya saya bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenarnya kepada Malaysia dan akan memelihara dan mempertahankan Perlembagaannya,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Johari berharap Suhaizan akan melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti yang dituntut.
“Saya yakin Yang Berhormat (YB) akan mula menjalankan amanah sebagai ahli Dewan Rakyat dengan penuh tanggungjawab. Saya menyeru YB dapat memberi sumbangan berfaedah dan bermakna kepada dewan, rakyat dan negara,” katanya.
Suhaizan memenangi kerusi Parlimen Pulai apabila memperoleh 48,283 undi di PRK Pulai, baru-baru ini.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menang dengan majoriti 18,641 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
Kemenangan Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu membolehkan Amanah mempertahan kerusi yang dimenangi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Salahuddin merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia pada 23 Julai lalu selepas disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Termasuk kerusi Parlimen Pulai, Kerajaan Perpaduan pada asalnya mempunyai 148 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, namun, kini hanya tinggal 147 kerusi menyebabkan kerajaan hilang keistimewaan sokongan dua pertiga majoriti.
Hal itu disebabkan tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menarik sokongan terhadap kerajaan sebagai protes terhadap keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. -UTUSAN