MARAN: Mangsa kemalangan maut di laluan utama Bandar Tun Razak Jengka-Kampung Awah di sini, Mohd. Ridhwan Mahayudin, 35, sempat menghantar kad ucapan dan hadiah hari jadi kepada isterinya, Nazatul Shazwati Sulaiman, 31, kelmarin.
Menurut Nazatul Shazwati, suaminya menghantar kad ucapan itu melalui orang ketiga sebagai kejutan sempena hari hadi jadinya ke-31.
Tambahnya, sebelum ini Mohd. Ridhwan tidak pernah berbuat demikian walaupun usia perkahwinan mereka mencecahkan 13 tahun.
“Saya sempat berbual dengan suami melalui telefon sebaik sahaja menerima hadiah hari jadi. Saya perasaan nadanya cukup sayu, ucapkan sayang dan pesan jaga anak.
“Saya masih tertanya-tanya kerana semasa menghantar hadiah dan kad ucapan hari jadi dia berada di rumah kawan di Felda Lepar Utara 1 sebelum bertolak ke Temerloh,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Lepar Utara 1 di sini semalam.
Kelmarin, tiga sahabat yang dalam perjalanan pulang selepas menikmati juadah ikan patin maut dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Jalan Besar Felda Jengka 17 di sini.
Selain Mohd. Ridhwan, turut maut dalam kejadian itu adik Nazatul Shazwati, Fadhil Syah, 19, dan Muhammad Firdaus Zainal Abidin, 20, yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Ekoran kejadian malang itu, Mohd. Ridhwan meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak berusia antara enam tahun hingga 13 tahun.
Nazatul Shazwati berkata, sebelum meninggalkan rumah kira-kira pukul 2 petang kelmarin, arwah suaminya dilihat begitu ceria dan wajahnya berseri-seri serta turut meminta dipuji pakaian baharu dipakainya.
“Sehari sebelum itu saya bermimpi suami memakai baju putih dan saya menegur dan melambai-lambai tangan tetapi dia seolah-olah tidak peduli dan mengarah saya balik,” katanya.
Tambah beliau, adiknya, Fadhil Syah yang turut maut dalam kejadian itu merupakan anak bongsu daripada enam beradik dan baru membeli motosikal hasil kerja sebagai buruh ladang di Felda Lepar.
Sementara itu, Abdul Rahman, 31, abang kepada Muhammad Firdaus berkata, adik bongsunya beria-ria ke Temerloh untuk makan ikan patin dan makan di kedai masakan Thailand yang tular di media sosial.
Menurutnya, mangsa sebenarnya sudah berkonvoi seramai lima orang untuk ke Temerloh pada petang Jumaat lalu tetapi berpatah balik kerana hujan lebat.
Menurutnya, ketiga-tiga rakan baik itu yang bekerja sebagai buruh ladang tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Utara 1, pukul 11 pagi kelmarin. – UTUSAN