SPRM siasat lanjut bukti baharu babitkan Ahmad Zahid

SPRM siasat lanjut bukti baharu babitkan Ahmad Zahid

AZAM Baki ketika menghadiri Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 di Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan penyiasatnya bagi menyiasat bukti baharu membabitkan kes rasuah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau juga tidak pasti sejauh mana perkembangan siasatan berkenaan.

“Saya tidak pasti mengenai perkara itu (siasatan lanjut), saya serahkan kepada pasukan penyiasat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya, Latheefa Koya yang menyifatkan keputusan terhadap Ahmad Zahid sesuatu yang ‘memalukan’, Azam berkata, beliau tidak mahu memberi komen lanjut mengenai perkara itu.

“Apa yang dicakap di mahkamah dan diserahkan oleh pendakwaan, itulah keputusannya,” katanya.

Latheefa sebelum ini menyatakan, keputusan diumumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kesemua 47 pertuduhan membabitkan Ahmad Zahid adalah sesuatu yang memalukan.

Malah, beliau turut mempersoalkan rasional tindakan itu dibuat memandangkan mahkamah pada 24 Januari tahun lalu sudah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan semalam menegaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap 47 kes yang dihadapi Ahmad Zahid Hamidi adalah berdasarkan alasan yang telah dikemukakan dan diterima mahkamah.

Jabatan itu memaklumkan semasa membuat keputusan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menyatakan alasan- alasan yang dikemukakan pendakwa raya adalah kukuh (cogent). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya