SPRM kemuka 10 resolusi hasil persidangan kepada kerajaan

SPRM kemuka 10 resolusi hasil persidangan kepada kerajaan

ANTARA peserta Persidangan Penyelidikan Governans, Intergriti dan Antirasuah 2023 anjuran SPRM di Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sebanyak 10 resolusi berjaya dimuktamadkan pada Persidangan Penyelidikan Governans, Intergriti dan Antirasuah 2023 anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi persidangan yang juga Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Datuk Abd Aziz Aban berkata, kesemua resolusi itu akan diteliti dan dipertimbangkan kerajaan.

Beliau berkata, resolusi pertama yang dikemukakan adalah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya dapat mengguna pakai ‘Instrumen Index Scoring’ yang dibangunkan dalam mengukur tahap berkecuali dan kesaksamaan dalam kalangan penjawat awam.

“Resolusi kedua adalah memperkukuh dan menyelaraskan kawalan sempadan di semua pintu masuk negara bagi mengelakkan sebarang ancaman dan ketirisan hasil negara.

“Resolusi ketiga pula adalah merealisasikan penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dalam mengawal selia urusan perolehan bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan kebertanggungjawaban semua pihak.

“Seterusnya, resolusi keempat adalah meminda Akta Kerja 1955 (Akta 265) untuk merangkumi keperluan mengawal selia sektor tidak formal; dan mewujudkan entiti khusus yang mengawal selia sektor tidak formal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Katanya, resolusi kelima ialah memastikan tata kelola baik di entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan dengan mewujudkan suatu definisi yang jelas berhubung Syarikat Milik Kerajaan-(SOE) dan mewujudkan perundangan khas bagi mengawalselia entiti berkepentingan milik kerajaan.

Abd Aziz berkata, resolusi keenam pula adalah mempertingkatkan pendidikan dan hebahan kepada masyarakat awam berhubung tatacara dan peraturan penguatkuasaan agensi-agensi pengangkutan.

Menurutnya, resolusi ketujuh ialah mewujudkan perundangan yang mewajibkan pelaksanaan Environmental Impact Assessment (EIA) dengan hukuman berat ke atas ketidakpatuhan; dan mengukuhkan perundangan sedia ada bagi mengenakan hukuman berat ke atas sebarang perlakuan yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar.

“Bagi resolusi kelapan, menangani isu campur tangan oleh pihak politik dalam projek pembangunan sektor luar bandar dan pemberian bantuan kepada golongan sasar.

“Manakala, resolusi kesembilan, memperluas dan mempercepatkan pelaksanaan pertukaran pegawai antara pihak berkuasa tempatan; dan membuat pindaan terhadap Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) untuk memasukkan peruntukan yang mengawal negotiating development contributions di dalam Pelan Kebenaran Merancang

“Resolusi terakhir ialah meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) khususnya berkaitan kesalahan rasuah, pelanggaran integriti serta tata kelola dan kebertanggungjawaban melibatkan ekosistem pembangunan sukan dalam negara,” katanya.

Persidangan dua hari itu berjaya mengumpulkan 10 kumpulan penyelidik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang tampil membentangkan hasil kajian selama enam bulan.

Hasil kajian antaranya merangkumi sektor penguatkuasaan, pembangunan luar bandar, alam sekitar, berkecuali dan kesaksamaan dalam pentadbiran awam, perolehan awam, pengangkutan, pihak berkuasa tempatan (PBT), SOE, sukan dan sektor tidak formal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN