PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini sekali lagi mengambil keterangan Jasmine Loo Ai Swan bagi membantu siasatan penyelewengan dana dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, keterangan wanita sepatutnya diambil kelmarin, namun ditangguhkan pada semalam.
“SPRM ambil keterangan dia (Jasmine Loo) hari ini (semalam). Sepatutnya semalam (kelmarin),” katanya di sini secara ringkas.
Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan, tumpuan siasatan SPRM terhadap Jasmine Loo difokuskan kepada beberapa isu antaranya mengenai penyalahgunaan sejumlah wang dikaitkan dengan dana itu yang dilaburkan di luar negara.
Fokus siasatan ini dilakukan selepas SPRM mengesan beberapa pelaburan di luar negara selain pembekuan dan penyitaan sejumlah AS$340 juta (RM1.58 billion) dikaitkan dengan dana 1MDB.
Disamping itu, keterangan Jasmine Loo Ai Swan juga diperlukan SPRM untuk menjelaskan berhubung penerimaan wang yang digunakannya bagi pembelian aset di luar negara.
Keterangan berkenaan penting bagi SPRM mengenal pasti punca kenapa pembayaran itu dibuat oleh syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan beberapa individu lain terhadap Jasmine Loo.
Keterangan Jasmine Loo penting memandangkan dia berperanan sebagai penasihat am atau general counsel 1MDB sebelum ini.
Selain itu, siasatan SPRM terhadap Jasmine Loo juga dilakukan bagi mendapatkan lagi maklumat lanjut kes 1MDB yang sedang bicara ketika ini.
Dalam pada itu, pada 6 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan, ketika ini, Jasmine Loo masih dalam tahanan polis dan tiada keperluan mereman wanita berkenaan untuk proses soal siasat.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, pihaknya berjaya mendapatkan semula kira-kira RM93.2 juta aset merangkumi hartanah dan akaun bank milik Jasmine Loo yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kesemua aset dan hartanah berkenaan dipercayai berada di beberapa negara luar iaitu di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
Ayob berkata, turut dirampas hasil daripada dana 1MDB iaitu dua utas jam tangan mewah iaitu jenama Richard Mille dan Harry Winston dan 13 buah beg tangan termasuk jenama Birkin dan seutas gelang tangan dan pelbagai dokumen.
Jasmine Loo yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis pada 7 Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.
Media pada Mei lalu melaporkan, Jho Low dipercayai berada bawah tahanan rumah di Shanghai, China seperti didakwa pengarang bersama “Billion Dollar Whale”, Bradley Hope malah, beliau turut dilaporkan ‘bersembunyi’ di Macau. -UTUSAN