Speaker Kelantan dahului senarai penerima darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan

Speaker Kelantan dahului senarai penerima darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan

DR. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra (tengah) memeriksa perbarisan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mendahului senarai 772 penerima darjah kebesaran bintang, pingat dan surat kepujian sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Balai Istana Besar, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mohd. Amar yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan dikurniakan Datuk Bergelar dengan gelaran Datuk Sri Amar Diraja.

Majlis Istiadat Pengurniaan Penghormatan Kebesaran Negeri itu disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman turut menerima pengurniaan Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Aminuddin Hassim dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) membawa gelaran Datuk.

Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun; Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, Datuk Norazman Abd Ghani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin@Syed Hussin serta Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Kota Bharu Datuk Roslan Abu Bakar. 

Lima penerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) pula dianugerahkan kepada Panglima Briged Ke-8 Infantri, Brigedier Jeneral Azudin Hassan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan; Inspektor Jeneral Tentera Darat Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Infantri Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Sarman Bahrom dan Panglima 2 Divisyen Markas 2 Divisyen, Mejar Jeneral Azhan Md. Othman.

Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk  dikurniakan kepada sembilan penerima termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd. Muazzam Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Dr. Mohammad  Hanis Osman dan Pengarah Urusan Megah Herba (M) Sdn Bhd, Khairilazry Wahid.

Pada masa sama, seramai 15 penerima  Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd. Zamri Abdul Aziz; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Rosnazli Amin dan Pakar Perunding Kardiologi Jabatan Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr. Mohd. Sapawi Mohamed.

Sementara itu, penerima tunggal bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) yang juga membawa gelaran Datuk ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Aidid Tajuddin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya