Skop tugas Jabatan Audit Negara diperluas - PM

Skop tugas Jabatan Audit Negara diperluas – PM

ANWAR Ibrahim diiringi Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi (kiri) ketika hadir sesi perjumpaan bersama pengurusan dan warga jabatan audit negara di Jabatan Audit Negara Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bidang tugas Jabatan Audit Negara (JAN) diperluaskan meliputi kerangka ombudsman atau institusi hisbah iaitu tidak hanya terhad kepada pengauditan.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun, perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan, namun ia bakal memperkukuhkan skop tugas JAN selepas mengambil kira prestasi jabatan itu yang memuaskan melalui teguran-teguran kepada semua jabatan Persekutuan dan negeri.

“Saya memutuskan untuk meningkatkan peranan dan bidang tugas JAN bukan sahaja pengauditan dalam konteks sekarang, tetapi meliputi kerangka yang disebut tugas ombudsman.

“Maknanya apa yang dilakukan (JAN) sekarang diperkukuh dan mungkin kita perkenalkan beberapa kaedah baharu, diperkuatkan supaya jelas dan kita bawa (cadangan ini) kepada Jemaah Menteri,” katanya ketika menyampaikan amanat dalam perjumpaan bersama pengurusan dan warga JAN, di sini hari ini. Hadir sama Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi

Ombudsman ialah merujuk kepada pegawai atau badan rasmi atau separa rasmi yang bertanggungjawab menerima dan menyiasat aduan daripada orang ramai kerana tidak berpuas hati dengan apa-apa per­kara yang berkaitan dengan jentera kerajaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan memastikan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada tahun ini akan dibahaskan dan segala kelemahan atau wujud apa-apa perlanggaran tugas dan penyalahgunaan kuasa diperbetulkan dan diambil tindakan.

Beliau berkata, ketika beliau memegang jawatan Menteri Kewangan dahulu, setiap tahun LKAN dianggap sebagai satu dokumen penting dan Kementerian Kewangan (MOF) mesti mengetuai satu tugas untuk meneliti semua laporan.

Ini termasuk memastikan semua jabatan patuh, jika tidak, masalah sama akan berulang lagi seolah-olah apa yang dilaporkan JAN itu hanya ‘dibakulsampahkan’.

“Kalau kita ambil serius tindakan ini mulai sekarang tiap teguran itu perlu dijawab kerana apa yang dikaji, diteliti atau ditelusuri oleh JAN ini ternyata ada beberapa kelemahan yang jelas.

“Ini harus dibetulkan, sebab itu tahun ini sebaik laporan dibentangkan, saya pastikan pertama jemaah menteri dan semua menteri dan Ketua Setiausaha (KSU), ketua pengarah masing-masing diwajibkan untuk meneliti semua laporan ini dan memberi jawapan atau tindakan yang memuaskan,” katanya.

Justeru, katanya beliau akan memastikan satu kaedah yang boleh diperkenalkan supaya tugas JAN tidak hanya menghantar laporan tahunan dan selesai.

Maka, jelasnya, apabila laporan dikeluarkan, ada perbahasan di Parlimen dan melihat semua teguran itu kerana ada teguran munasabah bukan bersifat politik atau balas dendam.

“Kalau teguran itu tidak munasabah, kita jawab dengan tegas. Kalau teguran itu betul walaupun terkena kepada Kerajaan Perpaduan, ia mesti menuntut kita mengambil tindakan yang wajar.

“Saya tidak akan tahu apa yang berlaku di jabatan-jabatan tertentu, di negeri dan daerah tertentu, itu tugas yang saya amanahkan kepada JAN.

“Jadi kita akan teliti laporan audit, supaya orang lihat laporan ini sesuatu yang serius akan diteliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), MOF dan semua jabatan penguatkuasaan seandainya tidak ada tindakan susulan secara serius oleh jabatan terhadap setiap teguran dalam laporan audit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya