SHAH ALAM: Juara bertahan Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor gagal mempertahankan gelarannya apabila tewas 0-1 kepada SK Taman Alam Megah dalam perlawanan peringkat separuh akhir, hari ini.
Justeru, SK Taman Alam Megah dijadualkan bertembung dengan SK Seksyen 20 pada peringkat akhir kejohanan tersebut yang dijangka berlangsung pada Sabtu ini untuk merebut hadiah wang tunai RM4,000, piala, pingat serta sijil bagi kejohanan edisi ke-34.
Sementara, SK Seri Selangor pula akan berdepan dengan SK Puchong dalam penentuan tempat ketiga dan keempat yang mana masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta pingat dan sijil.
Pada perlawanan pertama yang bermula pukul 8.40 pagi di padang SK Putra Heights 2 itu, pasukan SK Taman Alam Megah mencetak gol tunggal dalam separuh masa pertama menerusi pemain sayap kanannya, Muhammad Farish Ikmal Nazri, empat minit selepas perlawanan bermula.
Keputusan tersebut bertahan sehingga akhir perlawanan selepas cubaan demi cubaan oleh pemain SK Seri Selangor untuk menafikan kedudukan SK Taman Alam Megah yang mendahului perlawanan, gagal.
Bagaimanapun, dalam perlawanan kedua di padang sama, SK Seksyen 20 bagai meraikan pesta gol ketika menentang SK Puchong apabila menjaringkan empat gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan pemain hadapannya, Muhammad Lukmanul Hakim Zolkarnain pada minit ke enam dan lapan.
Kemudian pintu gol SK Puchong dibolosi lagi menerusi jaringan pemain sayap kiri, Muhamad Nazhaizal Qusyairi Muhamad Nazeri dan pemain tengah, Mior Rayhan Rifqi Mior Hafis masing-masing pada minit ke 10 dan 11.
Pasukan tersebut berterusan menunjukkan kemampuannya pada separuh masa kedua menjaringkan dua lagi gol menerusi jaringan pemain hadapan Mohammad Idham Nazarudin pada minit ke 27 dan 47. SK Seksyen 20 menang 6-0 menentang SK Puchong.
Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor Edisi Ke-34 menyaksikan penyertaan 32 pasukan dari sekolah-sekolah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan Petaling Utama bermula pada 11 September lalu.
Pertandingan edisi ke-34 itu melibatkan lebih 600 pemain berusia bawah 12 tahun yang berlangsung secara liga dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati (16 terbaik) sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan akhir. – UTUSAN