Simpang Jeram pilih jurutera atau doktor? - Utusan Malaysia

Simpang Jeram pilih jurutera atau doktor?

KEMENANGAN dalam PRK kali ini termasuk di Parlimen Pulai tidak bergantung sepenuhnya kepada keperibadian calon semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMPOH berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sudah sampai ke garisan penamat hari ini, esok wakil rakyat baharu bagi kerusi itu bakal dipilih 40,379 pengundi.

Calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Mazri Yahya boleh dianggap seteru seimbang dari segi kelayakan akademik. Tambahan pula mereka berasal daripada susur galur yang sama iaitu Pas.

Masing-masing mempunyai kelebihan menawan hati pe­ngundi. Selaku anak tempatan Simpang Jeram, Nazri yang pernah berkhidmat selama 30 tahun sebagai jurutera di Majlis Perbandaran Muar (MPM) sepatutnya tidak berdepan kesukaran memperkenal dirinya kepada masyarakat.

Senario itu mungkin berbeza buat Mohd. Mazri, seorang calon luar berasal dari Johor Bahru yang perlu lebih ringan tulang berkempen.

Bagaimanapun pengalamannya selaku pakar perubatan dan pakar bedah selain banyak menjalankan misi kemanusiaan membuatkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu lebih efisien dengan kaedah bertemu pe­ngundi dari rumah ke rumah.

Daripada perspektif Kerajaan Perpaduan, perjalanan politik Nazri selaku bekas pegawai khas kepada penyandang kerusi, Allah­yarham Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan penanda aras terbaik untuk memastikan Simpang Jeram tidak bolos kepada PN.

Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH, UMNO seolah-olah berdepan kesukaran memperoleh undi asasnya, walaupun mendapat sokongan tambahan masyarakat bukan Melayu yang setia bersama PH.

Ini terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini yang menunjukkan prestasi UMNO hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi ditandingi.

Di Simpang Jeram dan Pulai, UMNO dikejar dilema sama ada Johor yang mendapat gelaran negeri kelahiran parti itu bakal menerima nasib sama atau tidak.

Meskipun tidak bertanding, kemenangan atau kekalahan PH di kedua-dua kerusi bakal memberi kesan langsung kepada kepemimpinan UMNO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN